suria

Tak macho kalau buat yoga tapi senaman itu cukup baik buat kaum lelaki!

Yoga mempunyai pelbagai kelebihan kepada lelaki.

MESKIPUN ramai tahu bahawa senaman yoga mampu memberikan manfaat kesihatan namun tidak banyak kaum lelaki yang mahu melakukannya.

Ini kerana selama ini yoga dikaitkan sebagai senaman untuk kaum wanita dan menyebabkan lelaki berasa malu menyertai aktiviti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin dicukur semakin tebal bulu yang tumbuh, benar atau mitos?

Pakar kesihatan dan senaman, Dr Lisa Blum menjelaskan pada zaman dahulu yoga sebenarnya hanya dilakukan oleh lelaki bagi memperbaiki kedudukan tubuh (asana), teknik pernafasan (pranayama) dan meditasi.

Yoga boleh dianggap sebagai cara meningkatkan keseimbangan dan kekuatan tubuh serta menenangkan fikiran.

Dalam suasana pandemik ketika ini, yoga adalah antara senaman yang paling sesuai dilakukan di rumah. Men's Health melaporkan terdapat beberapa kesan yang boleh diperolehi oleh kaum lelaki dengan melakukan yoga.

Yoga 2

Yoga bukan hanya untuk kaum wanita.

1. Meningkatkan mobiliti dan kelenturan badan

Kaum lelaki biasanya fokus melakukan senaman lebih berat seperti berlari, mengangkat beban, berbasikal mahupun memanjat bukit.

Meskipun senaman ini baik untuk otot, tulang dan jantung namun gerakan berulang ini boleh menyebabkan rasa tegang pada badan.

Yoga boleh menjadi cara untuk meningkatkan mobiliti dan kelenturan tubuh secara keseluruhan.

2. Lebih berjaga-jaga

Yoga sebenarnya dapat melatih seseorang untuk lebih berjaga-jaga dalam mencegah terjadinya kecederaan ketika bersenam.

Ini kerana ketika melakukan yoga, seseorang perlu lebih peka memandangkan perlu membuat pelbagai gerakan berbeza dengan kedudukan tepat.

Tumpuan kepada gerakan ini boleh membuatkan seseorang menyedari kekuatan atau kemampuan diri ketika bersenam. Ia sekali gus meningkatkan keseimbangan tubuh dalam menahan beban dan menurunkan kemungkinan kecederaan.

Yoga 3

Senaman ini dapat menguatkan otot dan menjaga keseimbangan badan.

3. Menguatkan otot

Ketika bersenam, ramai lelaki menggunakan peralatan untuk membantu membangunkan kekuatan otot agar kelihatan lebih besar dan maskulin.

Tetapi sayang, ramai yang melupakan pada bahagian otot yang berfungsi menstabilkan tubuh. Senaman yoga paling sesuai bagi membina kekuatan otot pada bahagian tertentu.

4. Meningkatkan kesihatan jantung

Penyakit jantung merupakan pembunuh utama lelaki. Meditasi dan latihan pernafasan menerusi senaman yoga dapat menurunkan degupan jantung, tekanan darah serta menurunkan hormon kortisol yang menyebabkan tekanan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain