suria

Malas ke spa? Guna saja 7 bahan semulajadi ini buat ‘homemade facial mask’ di rumah

'Facial mask' sesuai digunakan pada waktu malam dan perlu dibilas selepas 15-10 minit sebelum tidur. - Gambar Instagram @hbro_ys

SEIRING dengan perkembangan zaman, facial mask menjadi pilihan utama rutin harian penjagaan kecantikan yang tidak boleh dilepaskan sama ada wanita mahupun lelaki.

Facial mask berguna dalam membantu mengekalkan kelembapan kulit serta menjadikan wajah lebih cerah dan berseri.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak kelihatan awet muda umpama wanita Jepun... apa kata cuba 8 tip ini

Bagi yang sering menggunakannya, biasanya mereka akan memborong produk kegemaran bimbang ia kehabisan stok, walhal ia boleh dibuat sendiri di rumah dengan cara yang lebih mudah - 'handmade facial mask'.

Menurut portal The Healthy, tujuh resepi semulajadi penjagaan kulit ini berkesan untuk kecantikan dan kecerahan kulit, termasuk;

1. Pisang

Pisang mengandungi bahan-bahan mesra kulit seperti vitamin A untuk mencerahkan bintik-bintik gelap dan melicinkan kulit.

Sementara vitamin B untuk mengurangkan kekeringan, dan vitamin E berperanan untuk mengurangkan kedutan serta menghidratkan kulit.

Topeng muka daripada pisang ini bermanfaat untuk menambah kecerahan terhadap kulit wajah dan mudah dibuat sendiri di rumah.

Cara membuatnya, hancurkan dahulu sebiji pisang masak saiz sederhana besar menjadi pes halus kemudian sapukan perlahan-lahan pada muka dan leher.

Biarkan selama 10 hingga 20 minit dan bilas dengan air sejuk. Anda juga boleh campurkan 1/4 cawan yogurt biasa, dua sudu besar madu (penawar jerawat semulajadi), dan sebiji pisang saiz sederhana.

2. Cuka sari epal

Memiliki dua kegunaan iaitu sesuai digunakan sebagai penyegar dan berkesan dalam merawat kulit.

Di samping itu, kita juga boleh mengubahnya menjadi topeng muka semula jadi yang baik untuk menambah keyakinan diri.

Caranya, selepas mencuci wajah, campurkan satu sudu cuka sari epal dengan dua gelas air, kemudian gunakan campuran ini sebagai bilasan terakhir untuk membersihkan dan menegangkan kulit.

Anda juga boleh membuat topeng muka buatan sendiri dengan mencampurkan 1/4 cawan cuka sider dan 1/4 cawan air, sapukan larutan ke wajah dengan lembut dan biarkan sehingga kering.

3. Susu

Secara teorinya, susu mampu membersihkan kulit dan membantu menghilangkan bakteria yang menyebabkan pori-pori tersumbat.

Kaedah ini boleh digunakan sebagai alternatif kepada penjagaan wajah di rumah menggunakan topeng muka susu.

Caranya mudah saja - hanya campurkan 1/4 cawan susu tepung dengan air secukupnya untuk membentuk pes pekat kemudian ratakan pada kulit dan ia sesuai dibawa tidur sehingga ke siang hari.

4. Yogurt

Tidak perlu menghabiskan wang untuk mendapatkan rawatan kecantikan di spa, 'yogurt kan ada'.

Dengan menyapu yogurt asli pada wajah yang mudah didapati di pasaran, ia boleh membersihkan kulit dan mengetatkan pori-pori lalu biarkan selama kira-kira 20 minit.

Untuk membuat topeng muka yogurt yang menyegarkan, terdapat beberapa campuran yang mesti digunakan.

Campurkan satu sudu teh yogurt biasa dengan air daripada 1/4 hirisan oren, sedikit kulit oren dan satu sudu teh aloe vera.

Biarkan campuran itu menempel pada muka anda selama sekurang-kurangnya lima minit sebelum membilasnya.

5. Lemon

Lemon mengandungi AHA dan BHA, dua jenis asid hidroksi yang mampu menanggalkan sel kulit mati.

Bahan-bahan ini juga boleh membantu membersihkan bintik hitam, jerawat, dan berpengaruh merubah warna kulit.

Resepinya mudah sahaja - campurkan sebiji jus lemon dan 1/4 cawan minyak zaitun atau badam.

Atau campurkan 1/2 jus lemon dengan satu sudu madu, setelah itu, sapukan pada muka dan tunggu sehingga 15 minit kemudian bilas dengan air suam.

6. Telur

Bukan sahaja untuk dimakan, telur juga boleh menyihatkan kulit dengan menukarnya menjadi facial mask semulajadi.

Jika anda mempunyai kulit kering yang memerlukan kelembapan, pisahkan telur dan pukul kuningnya sahaja.

Sementara itu, bagi kulit berminyak anda memerlukan putih telur yang ditambah sedikit lemon atau madu.

Untuk kulit biasa pula, gunakan keseluruhan telur yang telah dipukul dengan mengoleskan pada wajah selama 30 minit dan bilas.

7. Strawberi

Untuk rawatan muka yang menyegarkan, tumbuk segenggam strawberi masak dengan tiga sudu badam.

Tambah dua sudu yogurt biasa dan kacau sehingga ia berubah warna kepucatan, kemudian sapukan pada muka dan bilas untuk mendapatkan kulit yang lembut dan licin.

Sekiranya terdapat lebihan, pastikan anda menyimpannya ke dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk kegunaan seterusnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain