suria

Cara realistik simpan dana kecemasan, cuma boleh sentuh untuk 3 situasi! Gaji kecil, besar semua orang boleh buat

Dana kecemasan berfungsi seperti 'penyelamat' jika berlaku insiden tak dijangka. -Gambar hiasan

PERNAHKAH anda berada dalam situasi kecemasan yang mana wang perlu digunakan dengan kadar segera?

Contohnya, kereta mengalami kerosakan seperti tayar pecah, kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, atau perlu membayar bil perubatan yang mahal.

Dalam keadaan ini, ramai akan menggunakan kad kredit, membuat pinjaman peribadi, atau lebih teruk, meminjam daripada ah long.

Malangnya, langkah-langkah ini hanya akan menambah beban kewangan dan menjauhkan diri anda daripada mencapai kebebasan kewangan atau financial freedom.

Sebab itulah emergency fund atau dana kecemasan sangat penting.

Dana ini adalah salah satu komponen utama dalam kesihatan kewangan peribadi yang berfungsi sebagai perlindungan apabila berlaku kejadian tidak dijangka.

Selesaikan hutang dahulu, sebelum menyimpan untuk 'Emergency Fund'.

Selesaikan hutang dahulu, sebelum menyimpan wang untuk tujuan tabung kecemasan. -Gambar hiasan

Menurut seorang pakar kewangan yang aktif di YouTube, Afham Yusof, terdapat dua jenis dana kecemasan iaitu sementara dan kekal (permanent).

Dana kecemasan sementara

Simpanan minimum sebanyak RM1,000. Walaupun jumlah ini mungkin kelihatan kecil dan tidak mencukupi untuk pelbagai situasi, ia berfungsi sebagai 'insurans' sementara bagi mereka yang masih mempunyai hutang.Tujuannya adalah untuk mengurangkan kebimbangan sekiranya berlaku kecemasan kecil.

Dana kecemasan kekal

- Simpanan yang lebih besar dan disarankan untuk menampung tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda.

- Untuk mengira jumlah yang diperlukan, anda boleh meneliti penyata bank untuk mengetahui purata perbelanjaan bulanan anda.

- Contohnya, jika perbelanjaan bulanan anda adalah RM3,000, darabkan jumlah tersebut dengan tiga hingga enam bulan. Ini bermakna anda perlu menyimpan antara RM9,000 hingga RM19,000 sebagai dana kecemasan kekal.

Simpanan untuk ahli keluarga dengan penyakit kronik kerana bil perubatan boleh mencecah ribuan.

Sesiapa yang dirawat di hospital swasta perlu membayar bil perubatan yang agak tinggi. -Gambar hiasan

Berapa banyak perlu simpan?

Jumlah simpanan kecemasan bergantung kepada situasi kewangan dan tanggungan anda.

Bagi mereka yang bekerja sendiri, mempunyai pendapatan tidak tetap, seorang ibu atau bapa tunggal, atau perlu menyokong ahli keluarga yang sakit kronik, adalah disarankan untuk menyimpan selama enam bulan

Sebaliknya, jika anda tidak mempunyai tanggungan atau apabila kedua-dua pasangan bekerja, tiga bulan perbelanjaan bulanan mungkin sudah mencukupi.

Duit emergency fund boleh disimpan di dalam bank atau tabung supaya mudah diakses.

Dana kecemasan boleh disimpan di dalam bank atau tabung supaya mudah diakses. -Gambar hiasan

Tambahnya, dana kecemasan perlu disimpan di tempat yang mudah diakses tetapi tidak terlalu 'liquid'.

"Ini bermakna kita perlu memilih tempat simpanan yang tidak mudah diguna untuk perbelanjaan harian tetapi tetap mudah diakses jika berlaku kecemasan.

"Contohnya, seperti menyimpan di akaun HIE 7 atau Money Market Fund," ujarnya.

Apa yang paling penting, dana kecemasan perlu diasingkan daripada akaun simpanan biasa anda.

Langkah ini bertujuan membantu mengelakkan kekeliruan dan memastikan dana ini digunakan hanya untuk situasi kecemasan sebenar.

Tayar pancit, hilang kerja, dan bil perubatan tinggi sesuai guna dana kecemasan.

Tayar pancit, hilang kerja, dan bil perubatan tinggi sesuai gunakan dana kecemasan. -Gambar hiasan

Dana kecemasan hanya boleh digunakan untuk perbelanjaan yang benar-benar mendesak dalam situasi berikut:

1) Tidak dijangka - Situasi yang berlaku tanpa amaran seperti kehilangan pekerjaan atau kerosakan kereta

2) Tidak boleh ditangguhkan - Situasi yang memerlukan tindakan segera seperti bil perubatan

3) Tidak boleh dielakkan - Masalah yang memerlukan penyelesaian segera tanpa alternatif lain

Peringatan, jangan guna dana kecemasan untuk perkara seperti perbelanjaan biasa, pelancongan, atau membeli keperluan seperti kasut sekolah.

Jika terpaksa menggunakan dana kecemasan, pastikan anda menggantikannya secepat mungkin untuk mengekalkan jumlah asal.

Dengan persediaan yang baik, anda bukan sahaja dapat mengurangkan kebimbangan kewangan, tetapi juga menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran hidup.

Mulakan sekarang, kerana anda tidak tahu bila kecemasan mungkin berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain