RAMAI mengimpikan memiliki kediaman sendiri, tetapi impian itu mungkin sukar untuk dicapai gara-gara harga rumah semakin mahal.
Dengan gaji yang belum stabil, terutamanya bagi mereka yang baru bekerja, keputusan untuk membeli rumah bertambah rumit!
Bukan sekadar itu, komitmen jangka panjang selama puluhan tahun sering membuatkan ramai berfikir berkali-kali.
Walaupun rumah dianggap sebagai aset, namun ramai juga memilih untuk menyewa kerana fleksibiliti kewangan yang ditawarkan.
Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan besar ini termasuklah kestabilan pekerjaan, lokasi kediaman dan prospek masa depan.
Jangan hanya terpengaruh dengan pandangan orang lain, sebaliknya membuat keputusan yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan anda.
Masa tepat untuk beli rumah?
Bagi mereka yang baru memulakan kerjaya atau kehidupan berkeluarga, membeli rumah mungkin dilihat sebagai langkah seterusnya yang logik.
Namun, sebelum membuat komitmen ini, pertimbangkan soalan-soalan berikut:
> Adakah anda mampu membayar wang pendahuluan, yuran guaman, dan kos lain yang berkaitan?
> Adakah anda yakin akan tinggal di rumah tersebut sekurang-kurangnya selama 10 hingga 20 tahun?
> Adakah anda membeli rumah untuk kegunaan peribadi atau sebagai pelaburan?
Jawapan kepada soalan-soalan ini boleh membantu menentukan sama ada membeli rumah adalah langkah terbaik untuk anda pada masa ini.
Jika anda masih ragu-ragu, menyewa mungkin pilihan lebih bijak.
Mengapa menyewa lebih berbaloi?
Menurut pakar kewangan seperti Financial Faiz dan Afham Yusof, menyewa rumah menawarkan beberapa kelebihan, termasuk fleksibiliti kewangan dan risiko yang lebih rendah.
Berikut adalah beberapa faktor utama:
Kos permulaan yang tinggi menjadi satu halangan besar bagi individu yang mahu memiliki rumah. -Gambar hiasan
1. Kos permulaan rendah
Membeli rumah memerlukan pelaburan awal yang besar.
Sebagai contoh, untuk rumah bernilai RM300,000, anda mungkin memerlukan kira-kira RM47,000 untuk deposit, kos guaman, dan duti setem.
Sebaliknya, menyewa hanya memerlukan deposit keselamatan dua hingga tiga bulan bayaran sewa.
Kos permulaan yang rendah ini membolehkan penyewa membuat simpanan untuk tujuan lain.
Pemilik rumah perlu menanggung kos pembaikan besar dalam kediaman. -Gambar hiasan
2. Fleksibiliti kewangan
Penyewa tidak terikat dengan komitmen kewangan jangka panjang seperti pemilik rumah.
Sekiranya keadaan kewangan berubah, penyewa boleh berpindah ke tempat yang lebih murah dengan mudah.
Selain itu, penyewa tidak perlu risau tentang kos pembaikan atau penyelenggaraan rumah, yang sering menjadi beban tambahan kepada pemilik.
Setiap individu membuat perancangan kewangan apabila membeli rumah. -Gambar hiasan.
3. Kos bulanan lebih rendah
Bayaran balik pinjaman rumah biasanya lebih tinggi daripada kadar sewa.
Penyewa hanya perlu membayar sewa bulanan tanpa perlu bimbang tentang faedah pinjaman atau kos tambahan seperti penyelenggaraan.
Dengan kos bulanan yang lebih rendah, penyewa mempunyai lebih banyak wang untuk dilaburkan ke dalam aset lain yang boleh memberikan pulangan lebih tinggi.
4. Risiko turun naik harga hartanah
Pasaran hartanah tidak selalu stabil. Walaupun harga rumah cenderung meningkat dalam jangka masa panjang, terdapat risiko penurunan nilai bergantung pada lokasi dan keadaan pasaran.
Pemilik rumah mungkin mengalami kerugian sekiranya mereka terpaksa menjual rumah sebelum harga pulih.
Sebaliknya, penyewa tidak terjejas oleh turun naik harga pasaran ini.
5. Peluang labur di tempat lain
Dengan menyewa, individu boleh mempelbagaikan pelaburan mereka ke dalam aset lain seperti saham, dana amanah, atau perniagaan.
Tidak seperti pemilik rumah yang terikat dengan satu aset fizikal, penyewa mempunyai lebih banyak kebebasan untuk mengejar peluang pelaburan yang lebih menguntungkan.
Banyak persediaan perlu dilakukan sebelum membeli rumah. -Gambar hiasan.
Menyewa atau membeli rumah adalah keputusan besar yang bergantung pada situasi kewangan dan matlamat hidup setiap individu.
Walaupun memiliki rumah dilihat sebagai simbol kestabilan, ia juga boleh menjadi beban jika tidak dirancang dengan baik.
Sebaliknya, menyewa menawarkan kebebasan dan fleksibiliti yang membolehkan individu membina kekayaan dengan cara lain.
Pastikan anda menilai kemampuan kewangan anda dan mempertimbangkan semua faktor sebelum membuat keputusan.
Rumah adalah aset berharga, tetapi hanya jika anda benar-benar mampu menanggungnya tanpa mengorbankan kesejahteraan kewangan anda.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube