suria

Rendang Tok... penghulu hidangan di pagi lebaran

Rendang Tok makan pula dengan lemang dan nasi impit memang menyelerakan..

HARI raya tentunya tidak akan lengkap tanpa rendang dan ketupat. Di mana saja, pastinya rendang dilabel salah satu menu wajib yang perlu ada sepanjang bulan Syawal.

Memang ada pelbagai jenis rendang dan salah satunya, Rendang Tok. 

Berikut perkongsian resipi Rendang Tok oleh Adnilsam Apat buat anda semua.

Bahan-bahan:

2 kilogram daging (dipotong kiub,pastikan tidak terlalu kecil)

5 biji kelapa (santan)

1 ½ sudu besar jintan halus( jintan putih) (goreng tanpa minyak dan ditumbuk halus)

3 sudu besar biji ketumbar (goreng tanpa minyak dan tumbuk halus)

6 sudu besar jintan manis (goreng tanpa minyak dan tumbuk halus)

1-2 senduk cili kisar

Kerisik (anggaran dalam 1 biji kelapa)

1 ketul gula melaka

3 helai daun kunyit (dihiris)

5 kuntum bunga lawang

1 batang kulit kayu manis

5 biji buah pelaga

1 keping asam keping

Sedikit belacan (pilihan)

Garam

Serbuk perasa (pilihan)

Bahan kisar halus:

20 ulas bawang merah

9 ulas bawang putih

2 inci halia

5 -7 batang serai (dihiris nipis)

2 inci lengkuas

Cara-cara:

Masuk semua bahan kecuali daun kunyit, gula melaka,garam, asam keping, kerisik dan santan ke dalam periuk.

Kemudian perap dengan daging sekurang-kurangnya selama 4 jam. Untuk lebih sedap, perap semalaman. *kalau nak cepat boleh guna pressure cooker untuk daging lebih empuk.

Masak dan didihkan perlahan-lahan sehingga air kering kemudian baru dimasukkan santan.

Seterusnya, reneh selama 3-4 jam. Masukkan kerisik, gula melaka, gula dan garam. Kemudian kacau dengan agak kerap sehingga daging mula empuk, berwarna agak hitam dan kering. *Pastikan rendang dikacau selalu supaya tidak hangit di bahagian bawah.

Akhir sekali masukkan daun kunyit dan asam keping dan kacau lagi sehingga rata. Sesuaikan rasa dan boleh diangkat. *Rendang ini lebih sedap rasanya selepas sehari dimasak kerana rempah ratusnya semakin meresap ke dalam daging.

Rendang Tok, Perak, resipi

Artikel Lain