TAHUN ini sambutan Hari Raya Aidilfitri mungkin tidak sama seperti sebelumnya memandangkan kita tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman bagi mengelak penularan Covid-19 yang sedang berleluasa. Barangkali ada di antara kita yang terpaksa meraikan hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa itu seorang diri di kota tahun ini. Namun jangan bersedih, anggaplah ini satu pengorbanan dan pengalaman berharga seumur hidup kita. Berhari raya seorang diri bukan bermaksud kita patut bersedih sebaliknya cuba raikan semeriah mungkin walaupun seorang diri dan ini termasuklah menyediakan beberapa menu wajib setiap kali Aidilfitri. Usah pening kepala, mStar menyenaraikan lima resepi juadah istimewa Aidilfitri yang boleh anda sediakan sendiri menjelang 1 Syawal! 1. Rendang Ayam Juadah wajib yang mesti ada di pagi raya sudah tentu rendang ayam! Alang-alang terpaksa beraya di perantauan apa kata cuba buat sendiri. Tak susah pun, mudah jer! Bahan-bahannya: 1 ekor ayam (saiz besar) 1 senduk cili kisar 1 mangkuk besar santan pekat 1/2 mangkuk kecil ais asam jawa 3 sudu besar kerisik 2 helai daun kunyit 2 helai daun limau purut Garam dan gula secukup rasa 1 mangkuk besar minyak, untuk menumis Bahan-bahan untuk rempah tumis: 2 batang kayu manis 3 kuntum bunga lawang 5 biji buah pelaga Bahan-bahan untuk kisar halus: 1 biji bawang besar 8 biji bawang merah 5 ulas bawang putih 2 inci halia 3 ketul kunyit hidup 2 inci lengkuas 2 batang serai Cara-caranya: 1. Panaskan minyak dan tumis bahan rempah tumis, bahan kisar halus dan cili kisar. Kacau perlahan dan masak sehingga pecah minyak dan garing. Warna bahan tumisan akan bertukar menjadi sedikit gelap. 2. Masukkan pula ayam dan biarkan masak selama 5-10 minit. Air ayam akan keluar sedikit semasa proses ini. 3. Masukkan santan pekat dan air asam jawa. Kacau perlahan-lahan di atas api sederhana sehingga kuah menjadi pekat. 4. Masukkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. 5. Tabur dengan hirisan daun kunyit sebagai hiasan. 2. Kuah kacang Setiap kali hari raya, menu kuah kacang wajib ada untuk dimakan bersama nasi impit atau pun satay. Tak perlu bimbang, senang sahaja nak membuatnya! Bahan-bahannya: 600gm kacang tanah yang disangai 5 biji bawang besar 1/2 cawan cili kering dikisar 1 cawan gula Melaka 2 sudu besar gula pasir 1 cawan minyak mazola 2-3 cawan air Garam secukup rasa Cara-caranya: 1. Kacang tanah perlu disangai sehingga cukup masak sebelum dibuang kulitnya, disejukkan dan direndam seketika sebelum dikisar. Gunakan air secukupnya ketika mengisar. 2. Bawang besar dimayang dan ditumis menggunakan secawan minyak sehingga naik bau. Kemudian baharulah masukkan cili kisar dan digoreng sehingga pecah minyak. 3. Apabila cili sudah pecah minyak, masukkan gula Melaka dan gula pasir dan garam secukupnya. Biarkan ia mendidih dan masukkan air dan biar ia masak dan sedia dihidangkan. 3. Mee Kari Antara juadah lain yang cukup popular ketika Aidilfitri adalah mee kari. Bahan-bahan untuk memasaknya juga cukup mudah didapati. Jom cuba okay. Bahan-bahannya: 1 paket mee kuning 7 biji bawang merah dikisar 5 ulas bawang putih dikisar 1 paket serbuk kari daging 3 sudu cili kering dikisar 2 batang kayu manis 2 batang serai Sedikit bunga lawang 2 kiub pati ayam Bebola ikan Kek ikan Isi ayam, kaki ayam atau leher ayam 1 kotak santan Gula dan garam secukupnya Bahan-bahan hiasan 4 biji telur rebus dibelah empat 2 biji cili merah dihiris halus Sayur sawi dipotong dan dicelur Taugeh dan limau kasturi Cara-caranya: 1. Tumis bahan kisar, kayu manis, bunga lawang, serai, cili kisar dan serbuk kari dan tumis sehingga pecah minyak dan naik bau. 2. Masukkan isi ayam, kek ikan dan bebola ikan. 3. Masukkan santan dan air secukupnya 5. Masukkan kibu pati ayam, garam dan gula secukupnya dan biar mendidi sehingga masak. Siap dihidangkan. 4. Lontong Alang-alang sudah buat kuah kacang, apa kata buat lontong... Percayalah memang buat bertambah dan barulah rasa raya! Bahan bahannya: 1/4 biji kubis 1/4 biji sengkuang (dihiris panjang) 1 batang lobak (dipotong panjang) 6 batang kacang panjang 2 biji terung panjang 2 keping fucuk (rendam dan potong kecil) 2 keping tempe (potong dadu besar dan goreng) 2 keping tauhu (potong kecil dan goreng) 2 batang cili merah 2 batang serai 1 cawan udang hidup 2 santan kotak Garam secukup rasa Serbuk kunyit Bahan kisar: 8 ulas bawang merah 1 inci kunyit hidup 2 sudu besar udang kering (rendam terlebih dahulu) Cara-cara membuatnya: 1. Masak bahan kisar dan serai bersama air sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya. 2. Tambahkan air secukupnya ke dalam kuali dan biarkan sehingga ia mendidih. 3. Masukkan semua bahan dan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut. 4. Masukkan santan dan kacau rata supaya ia tidak pecah minyak. Masukkan udang serta sedikit serbuk kunyit bagi memberi warna kepada kuah. 5. Akhir sekali masukkan cili merah, tauhu dan tempe yang digoreng. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatan. Terus dikacau kuahnya selama beberapa minit dan api ditutup. 5. Asam Laksa Biasanya pada hari raya kita akan sediakan laksa utara tapi apa kata raya kali ini buat kelainan sedikit dengan mencuba menu asam laksa pula. Bahan-bahan dan cara membuatnya: 1 inci lengkuas 2 batang serai 1 inci kunyit 1 kuntum bunga kantan 1 biji bawang besar 5 biji cili kering (dipotong buang biji dan rendam air panas) * Kesemua bahan di atas dikisar dan tumis bersama 2 sudu minyak. 2 tin sardin saiz besar (ambil isinya saja. Sos dibuang. Dilenyek dengan garpu.) 2 potong nanas dikisar masukkan dalam bahan tumis, masukkan sardin lenyek dan masukkan air (jangan terlalu banyak takut nanti cair. Agak-agak kepekatan kuah yang dikehendaki) 6 helai daun kesum Bunga kantan Masukkan 20 keping asam keping (kalau asam saiz besar 10 keping pun ok. Kalau kurang masam tambah kemudian) Sedikit gula dan garam secukup rasa. Bahan hiasan: Daun salad, bawang, daun pudina, timun, hirisan nanas)Jadi, apa di tunggu lagi, rancanganlah sambutan hari raya anda dan mula membeli barangan yang perlu untuk menghidangkan juadah yang disenaraikan ini bagi menceriakan Aidilfitri kali ini. Selamat mencuba! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!