MUNCUL satu posting Facebook menyayat hati, menunjukkan pertemuan tidak dirancang antara seorang bapa dan anak lelakinya yang melawat sebuah penjara di wilayah Rayong, Thailand. Posting tersebut dimuat naik oleh ketua pasukan Jam Banjeud Rayong, Arom Khunmoung, sebuah organisasi yang merancang lawatan pendidikan dan rekreasi untuk syarikat dan sekolah dan kali ini melibatkan lawatan oleh sekumpulan pelajar ke asrama penjara. Semasa lawatan itu, yang disifatkan sebagai 'kem moral', Khunmoung terlihat salah seorang daripada remaja yang dibawa melawat sedang sedih berdiri dan menatap seorang tahanan sambil air mata mengalir di wajahnya. "Apa yang pelik, tahanan itu turut merenungnya dan menangis," tulis Khunmoung. "Jadi saya bertanya kepada budak lelaki itu apa yang telah berlaku dan dia menjawab 'cikgu, itu bapa saya. Saya sangat terkejut melihatnya," katanya Khunmoung. Selepas budak itu memberitahu bahawa dia mahu berjumpa dan bercakap dengan bapanya, Khunmoung bertanya jika warden boleh mengizinkan pasangan itu bertemu dan warden bersetuju. "Sambil menangis mereka berlari dan berpelukan," katanya, sambil menambah mereka yang berada di situ juga mula menangis ketika mereka melihat adegan itu. "Si bapa tak lepas-lepas mencium anak lelakinya sambil menyesali perbuatannya sambil berkata 'maafkan saya, saya rindukan kamu, bila saya tinggalkan tempat ini, saya akan jadi orang baik. Tolong jadi anak yang baik." Kemudian bapanya dilaporkan bertanya kepada anaknya 'adakah kamu malu dengan saya? Adakah kamu malu rakan-rakan kamu lihat saya di penjara?'. Anak lelaki itu menjawab: "Tidak, saya tak malu sama sekali," sebelum melutut di kaki bapanya, tanda hormat. Tahun lalu, dua lelaki di wilayah pedalaman Si Saket berkayuh selama lima jam untuk melawat bapa mereka di penjara tetapi akhirnya mendapat tahu ia bukan hari lawatan. Posting tersebut dikongsi oleh pengawal penjara yang hanya mempunyai maklumat bahawa tiada siapa yang dapat membawa mereka ke penjara kerana tinggal dengan nenek dan ibu mereka bekerja di Bangkok.