IBU kepada salah seorang mangsa serangan pengganas di Christchurch meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa jam selepas upacara pengebumian anak lelakinya. Kamel Darwish, 38, maut dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac lalu. Insiden itu mengakibatkan kira-kira 50 jemaah maut. Upacara pengebumian Kamel diadakan pada Jumaat lalu dan ibunya, Saud Abdelfattah Mhaisen Adwan, 65, dijemput Ilahi pada pagi keesokan harinya. Menurut New Zealand Herald, seorang jurucakap dari Kedutaan Jordan yang berpangkalan di Sydney, Australia mengesahkan Saud meninggal dunia akibat serangan jantung. Kamel antara yang terkorban dan insiden serangan pengganas pada 15 Mac lalu. Namun timbul khabar angin bahawa ibu Kamel menghembuskan nafas terakhirnya kerana terlalu bersedih. Yaser Mohammad, salah seorang rakan keluarga Saud berkata:"Dia (Saud) datang untuk menghadiri upacara pengebumian anaknya semalam." "Namun dia meninggal dunia pagi tadi kerana terlalu bersedih mengenai kematian anaknya. "Mereka sedang mengatur penghantaran jenazah ke Jordan," katanya. Kamel yang bekerja di ladang tenusu berpindah ke New Zeland dari Jordan kira-kira enam bulan lalu untuk mengikut jejak langkah abangnya, Zuhair. Isteri Kamel, Rana dan tiga anak mereka sudah memohon visa untuk mengikutnya ke New Zealand. Abangnya yang tinggal di New Zealand sejak 2007 dilaporkan memujuk Kamel untuk berpindah ke sana kerana percaya ia sebuah negara yang selamat. - Metro.co.uk