suria

Hotel, gereja diserang bom di Sri Lanka, 138 orang maut, lebih 400 cedera

Kerajaan negara itu kini mengetatkan kawalan termasuk menyekat akses beberapa media sosial dan laman mesej utama.

LETUPAN bom dilaporkan berlaku di tiga gereja dan empat hotel di Sri Lanka, mengakibatkan 138 orang terbunuh dan lebih 400 yang lain cedera.

Berlaku pada hari sambutan Easter, kerajaan negara itu mengetatkan kawalan dan mengisytiharkan sekatan waktu malam serta menyekat akses kebanyakan media sosial dan laman mesej utama.

Malah, sebahagian pihak berkuasa turut mendakwa ia merupakan serangan bom bunuh diri.

Di gereja Katolik St. Sebastian, Katuwapitiya, utara Colombo misalnya menyaksikan 50 orang terbunuh.

Selain itu 25 orang turut terbunuh dalam serangan di gereja di Batticaloa, wilayah timur negara itu.

Tiga hotel yang terlibat termasuklah Shagri-La Colombo, Kingsbury Hotel di Colombo dan Cinnamon Grand Colombo.

Namun, tidak dapat dipastikan jika ada individu yang cedera di hotel tersebut.

Enam letupan pertama dilaporkan berlaku dalam tempoh singkat pada waktu pagi sewaktu upacara di gereja dimulakan.

Sembilan warga asing antara yang turut menjadi korban, kata pihakberkuasa negara itu.

Pada sebelah petang, polis melaporkan dua lagi letupan yang mana salah satunya berlaku di sebuah hotel berdekatan zoo nasional di Dahiwela.

Menurut seorang saksi, dia melihat bahagian badan beberapa mangsa termasuk kepala putus berhampiran kawasan sebuah hotel.

Letupan lain termasuklah di sebuah rumah di Colombo, lapor pihak berkuasa.

Namun sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab sebagai dalang serangan itu.

Colombo sudah berada dalam keadaan perang sejak beberapa dekad dengan pemisah Tamil hingga 2009 yang mana letupan bom di ibu negara itu adalah perkara biasa. - The Star.

letupan, bom, Sri Lanka

Artikel Lain