suria

Solat tarawih 'supercepat' di Indonesia, jemaah Masjid Padepokan Al-Busthomi yakin ibadah diterima

Kisah jemaah di Masjid Padepokan Al-Busthomi melakukan solat tarawih kilat menjadi tular.

RATUSAN jemaah di Masjid Padepokan Al-Busthomi, Desa Sinarancang, di Cirebon, Indonesia dilihat melakukan solat tarawih yang dipimpin oleh imam.

Bezanya, jemaah ini melakukan solat tarawih sepantas kilat walaupun jumlah rakaatnya 23.

Memetik Fokus Indosiar, Khamis walaupun dilakukan dengan pantas disebabkan bacaan ayat-ayat pendek dan gerakan solatnya yang cepat, jemaah tetap melakukannya dengan tertib.

Malah, menurut laporan, solat sunat tarawih cepat yang menjadi tradisi sejak tertubuhnya masjid ini menjadi tarikan tersendiri bagi masyarakat setempat.

Solat di sini yang hanya mengambil masa antara tujuh hingga 10 minit, menjadi alasan jemaah untuk solat di masjid ini.

Walaupun dilakukan dengan cepat, jemaah yakin solatnya diterima sebagai ibadah.

"Sebab, pelaksanaan tarawih sesuai dengan standard dan syariat Islam.

"Gerakannya gerakan solat biasa, akan tetapi semakin cepat semakin baik," kata jemaah masjid Padepokan Al-Busthomi Bandi.

Dengan solat 'supercepat' ini, biasanya masjid tersebut selalu ramai dan menjadi rujukan ibadah bagi warga Desa Sinarancang.

Seperti tradisi di masjid pada umumnya, sebaik sahaja selesai mendirikan solat tarawih, sebahagian jemaah meneruskan ibadahnya dengan tadarus atau membaca al-Quran.- Liputan 6

Artikel Lain