SEORANG bapa yang dituduh 'menyimpan' enam anaknya di dalam sebuah rumah ladang di Belanda selama sembilan tahun menggunakan Facebook untuk berkongsi tentang kehidupannya. Gerrit Jan van Dorsten, 67, ditangkap minggu lalu kerana disyaki menghalang kebebasan, membahayakan kesihatan orang lain dan pengubahan wang haram. Dia didakwa telah memaksa anak-anaknya, berusia antara 18 dan 25 tahun untuk tinggal di dalam rumah 'menunggu kiamat'. ARTIKEL BERKAITAN: Polis temui 6 beradik ‘disimpan’ di rumah terpencil menunggu akhir zaman, tak pernah keluar selama 9 tahun Bagaimanapun, dia nampaknya masih berhubung dengan dunia luar melalui media sosial dengan memuat naik posting termasuklah video dirinya sendiri di Facebook. Menggunakan nama samaran 'John Eagles', dia berkongsi klip dirinya melakukan senaman di laman rumah ladang yang terletak di wilayah terpencil Drenthe. Dalam satu posting, dia dapat dilihat bersenam menggunakan mesin kayuhan buatan sendiri sambil mendengar muzik klasik. Van Dorsten berkongsi salah satu aktiviti hariannya di Facebook. - foto John Eagles Dalam posting lain, dia membincangkan sama ada NASA akan membina sebuah ladang di planet Marikh dan membuat spekulasi mengenai apa yang orang 'mati' mesti lihat. Dia juga berkongsi gambar-gambar bunga di taman dan dua ekor kucing yang berjemur di bawah sinaran matahari. Menurut media Belanda, van Dorsten pernah menjadi anggota Unification Church, satu gerakan dunia yang berasal dari Korea Selatan dan dikenali sebagai 'Moonies'. Van Dorsten ditahan minggu lalu. -foto John Eagles Di sana, dia dilaporkan telah bertemu dengan Josef Brunner, yang kemudiannya menjadi penjaga tanah di ladang itu. Brunner juga ditangkap pada minggu lalu atas kecurigaan yang sama seperti van Dorsten. Polis sedang meneliti sama ada 'agama atau falsafah tertentu' memainkan peranan dalam kes enam anak yang 'ditahan' di rumah ladang itu. Para pegawai mula-mula menemui rumah ladang itu selepas anak sulung van Dorsten, Jan Zon, 25, muncul di sebuah bar tempatan dalam keadaan bingung dan keliru. Anak sulung van Dorsten, Jan Zon. -foto Jan Zon van Dorsten Pemiliknya, Chris Westerbeek, kemudian memanggil polis dan memberitahu penyiar Belanda, RTV Drenthe bahawa Jan Zon telah muncul di situ sebanyak tiga kali. Dalam kunjungan terakhirnya, Jan Zon memesan lima bir dan memberitahu Westerbeek bahawa dia sudah tidak berada di luar selama sembilan tahun. Timbalan Ketua Polis Utara Belanda, Janny Knol mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah dihalang meninggalkan rumah mereka. Knol berkata tidak jelas di mana mereka dilahirkan tetapi mereka tidak pernah ke sekolah dan tidak didaftarkan oleh pihak berkuasa tempatan. -MetroUK