SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun melutut di atas rumput buckwheat (gandum hitam) sebagai hukuman oleh bapa tirinya yang meniru kaedah penyeksaan zaman kuno dalam talian. Anehnya biji gandum itu dilaporkan tumbuh dari kulitnya sehingga memaksa pakar bedah meletakkan ubat kebas bagi mengeluarkannya. Budak itu didakwa melutut di atas rumput gandum hitam itu antara 30 minit hingga sembilan jam jika dia melanggar peraturan atau balik lambat dari sekolah. Sergey Kazakov, 35, yang bertemu dengan ibu kanak-kanak itu, Alina Yumasheva secara online didakwa mengintip mangsa menggunakan webcam bagi memantau setiap pergerakannya. Kini pasangan dari Omsk, Siberia itu akan didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan pada tubuh badan kanak-kanak itu secara sengaja dan mengabaikan kebajikannya. Mangsa kemudian buka mulut mengenai insiden menimpanya selepas lari dari rumah keluarganya pada Mei lalu. Jika didapati bersalah mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun. Yumasheva, 27, mendakwa melutut di atas rumput gandum hitam adalah hukuman efektif dan dia pernah melaluinya selain tidak mengalami sebarang kesakitan. Sementara itu, seorang guru mendedahkan mangsa amat aktif di sekolah. "Dia baik dan seorang murid yang sentiasa positif. Ibunya kerap kali menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) jika diminta datang. "Dia juga pembersih. Saya dan guru-guru lain tidak menyedari dia dibuli di rumah," katanya. Mangsa hanya memberitahu kisah menimpanya selepas bertindak lari dari rumah pada Mei lalu selepas tidak tahan dengan hukuman melampau bapa tirinya itu. - Metro.co.uk