suria

Imran Khan buat ujian saringan selepas ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19

Faisal mengadakan pertemuan dengan PM Pakistan, Imran Khan (kanan) beberapa hari lalu dan kemudian disahkan positif Covid-19. Foto: Twitter

PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan menjalani ujian saringan Covid-19 susulan Pengerusi Yayasan Edhi, Faisal Edhi yang ditemuinya sebelum ini disahkan positif untuk wabak tersebut.

Imran mengadakan pertemuan dengan Faisal beberapa hari lalu ketika pemimpin pertubuhan tersebut menyerahkan cek sumbangan di kediamannya di Islamabad.

Faisal kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan diarahkan menjalani proses kuarantin di kediamannya.

Doktor dari Shaukat Khanum Memorial Cancer Hospital sudah pun mengambil sampel daripada perdana menteri itu. Bagaimanapun keputusannya masih lagi belum diumumkan.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perdana menteri telah bersetuju untuk diuji bagi Covid-19 atas nasihat saya," kata Dr Faisal Sultan, yang juga merupakan doktor peribadi kepada pemimpin tersebut.

Faisal bertemu dengan Imran Khan pada 15 April dan menyerahkan cek bernilai Rs 10 juta kepada dana bantuan Covid-19 kerajaan.

Menerusi gambar pertemuan itu, Faisal dan Imran Khan dilihat tidak memakai sarung tangan atau topeng muka, sekaligus menimbulkan kegusaran berlakunya penularan wabak tersebut. - Indiatoday

Artikel Lain