suria

Doktor terkemuka koronavirus AS beri amaran vaksin mungkin mengakibatkan Covid-19 semakin teruk

Dr Anthony Fauci memberi maklumat terkini mengenai usaha mengembangkan vaksin pada sidang Senat AS dalam talian pada Selasa.

DOKTOR koronavirus terkemuka Amerika Syarikat memberi amaran bahawa vaksin koronavirus mungkin akan membuatkan keadaan pesakit Covid-19 lebih buruk.

Ahli imunologi Rumah Putih Dr Anthony Fauci memberikan amaran itu semasa memberi maklumat terkini mengenai usaha mengembangkan vaksin pada sidang Senat AS dalam talian pada Selasa.

”Saya perlu memberi amaran bahawa ada juga kemungkinan negatif, yang mana vaksin tertentu sebenarnya dapat meningkatkan kesan negatif daripada jangkitan itu,” katanya.

Dr Fauci kemudian menjelaskan bahawa dalam kes-kes yang jarang berlaku, mereka yang diberi vaksin terhadap suatu penyakit akhirnya dijangkiti virus itu dengan sangkaan mereka telah dilindungi dan akhirnya mendapat sakit yang lebih serius.

“Adakah anda dapat lihat kesan yang lebih meningkat (dari penyakit ini)? Telah ada sejumlah vaksin, apabila ia menyebabkan respons yang kurang optimum dan ketika orang itu terkena jangkitan, mereka mengalami peningkatan patogenesis (perkembangan) penyakit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kejadian seperti itu sangat jarang berlaku dan hanya terjadi pada dua vaksin sebelum ini yang dikembangkan untuk virus lain.

Dr Fauci berkata masalah yang paling penting dengan mana-mana vaksin yang berjaya ditemui adalah keberkesanannya, iaitu kemampuan untuk menghasilkan hasil yang diinginkan dan dalam hal ini adalah pencegahan jangkitan koronavirus.

Dalam pernyataan pembukaan yang disampaikan melalui kamera web dari Institut Alergi Nasional dan Penyakit Berjangkit, di mana dia adalah pengarahnya, Dr Fauci menyuarakan harapan terhadap kemajuan pembuatan vaksin yang berjaya sekali gus dapat mencegah koronavirus.

“Terdapat sekurang-kurangnya lapan calon vaksin Covid-19 dalam pengembangan klinikal, dengan NIH (Institut Kesihatan Nasional AS) berkolaborasi dengan syarikat farmasi dalam pelbagai peringkat pembangunan.

“Pada Januari saya kata ia perlukan tempoh satu tahun hingga 18 bulan sekiranya kita berjaya mengembangkan vaksin. Percubaan itu sangat cepat. 62 hari kemudian kita sekarang dalam ujian klinikal fasa satu,” katanya.

Dr Fauci berkata fasa dua dan tiga akan bermula dalam beberapa minggu akan datang dan akan merangkumi ujian selamat ke atas haiwan.

“Sekiranya berjaya, kita berharap dapat mengetahuinya pada akhir musim gugur/awal musim sejuk. Kita mempunyai banyak calon dan berharap akan mendapat beberapa ‘pemenang'... ini bagus untuk ketersediaan global jika kita mempunyai lebih daripada satu calon yang berjaya,” katanya. -Metro UK

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

vaksin, Covid-19, Dr Anthony Fauci

Artikel Lain