SEORANG wanita ditahan selepas didakwa melakukan penderaan kejam terhadap anak angkat lelakinya. Bukan saja gigi remaja berusia 14 tahun itu dipatahkan menggunakan playar, dia turut dirantai pada leher dan disuruh tidur di atas lantai kotor. Patricia Hyler didakwa mendera anak angkatnya itu selama bertahun-tahun di sebuah rumah yang terletak di Pace, Florida. Suspek turut memukul anaknya itu dan mengarahkannya untuk mandi bogel di depan rumah. Insiden itu amat mengejutkan pegawai polis Rosa County, Sheriff Bob Johnson yang menyifatkan ia sebagai kes buruk pernah dilihatnya sepanjang 38 tahun kariernya. “Sejujurnya sebagai seorang bapa insiden ini amat menyakitkan hati. “Ada orang sanggup melakukan perbuatan kejam itu kepada anak angkat sendiri, ” katanya pada sidang media. Hyler dilaporkan mempunyai empat anak angkat. Johnson berkata bukti mendapati wanita itu mendera kesemua anak angkatnya itu, terutamanya remaja lelaki tersebut yang tinggal bersamanya dan suami selama lebih tujuh tahun. “Dia mendera remaja lelaki ini bertahun lamanya. Anak angkatnya itu bersekolah di rumah kerana jika dihantar ke sekolah perbuatannya akan diketahui, ” katanya. Polis mula menyiasat Hyler selepas salah seorang anak angkatnya menghantar mesej kepada seseorang memaklumkan mengenai penderaan itu. Hyler ditahan pada 8 Mei lalu dan didakwa melakukan penderaan serius terhadap kanak-kanak. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!