GARA-GARA cemburu, seorang lelaki sanggup membunuh bekas teman wanitanya yang sedang sarat hamil. Dalam kejadian pada Jun tahun lalu itu, Aaron McKenzie, 26, dari Peckham, selatan London, memecah masuk ke bilik tidur Kelly-Mary Fauvrelle pada waktu tengah malam dan menikamnya sebanyak 21 kali ketika keluarga mangsa sedang tidur di tingkat atas kediaman. Menurut pihak pendakwa, McKenzie bertindak demikian selepas bekas teman wanitanya memberitahu bahawa dia mahu menjauhkan diri daripada hubungan 'toksik', dan sudah bertemu dengan seseorang sebagai pengganti. Pegawai perubatan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa wanita malang berkenaan, namun gagal. Bayi lelaki pasangan itu selamat dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean, iaitu tujuh minggu sebelum tarikh jangkaan sebenar, namun meninggal dunia empat hari kemudian di hospital. McKenzie, seorang pemandu kren disabitkan atas dakwaan membunuh bekas teman wanita, bayi lelaki mereka dan memiliki senjata berbahaya. Dia akan dijatuhkan hukuman di mahkamah pada 17 Julai depan. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!