suria

Kira-kira 10 ribu jemaah antarabangsa jadi kumpulan pertama tiba di Arab Saudi untuk laksana umrah

Kira-kira 10,000 jemaah antarabangsa tiba di Arab Saudi pada Ahad untuk menunaikan umrah selepas ia ditangguhkan lebih tujuh bulan susulan penularan pandemik Covid-19.

KIRA-KIRA 10,000 jemaah antarabangsa tiba di Arab Saudi pada Ahad untuk menunaikan umrah selepas kerajaan negara itu membenarkan ibadat berkenaan dilaksanakan selepas lebih tujuh bulan ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

Mereka adalah kumpulan pertama jemaah antarabangsa yang tiba susulan pengumuman Arab Saudi sebelum ini yang membenarkan umat Islam seluruh dunia berusia antara 18 tahun hingga 50 tahun mengerjakan umrah selepas permit untuk jemaah luar dibuka mulai 1 November.

Menurut Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah, 10,000 jemaah yang tiba dari luar negara itu mesti mendapatkan permit terlebih dulu, demikian lapor Arab News.

Laporan media itu juga menyatakan bahawa setibanya di sana, jemaah mesti menjalani kuaranti selama tiga hari sebelum dibawa ke kawasan Miqat.

Jemaah hanya dibenarkan berada di sana sehingga 10 hari, termasuk tiga hari tempoh kuarantin.

Sebagai langkah pencegahan, 500 kumpulan masing-masing dibahagikan dengan 20 jemaah antarabangsa setiap kumpulan, bergerak sepanjang hari mengikut tempoh yang diperuntukkan.

Pada masa ini, Saudi adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang dibenarkan untuk membawa jemaah ke sana.

Sebagai permulaan pembukaan tahap ketiga ini, masjid-masjid suci akan beroperasi pada tahap 100 peratus.

Bagaimanapun tambahnya, jika pada mana-mana tahap wujud kemungkinan yang boleh menimbulkan bahaya kepada jemaah, kementerian akan menilai keadaan untuk kembali ke tahap sebelumnya dan mengurangkan jumlah jemaah. - Thenews.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!