POLIS menahan seorang lelaki selepas beberapa saksi mendakwa melihat dia membuang kepala manusia di dalam sebuah tong kitar semula sebelum melarikan diri, berhampiran jalan Avenida de Pio XII, di tengah bandar Huelva, Sepanyol. Saksi pada awalnya menyangkakan suspek sedang melakukan jenaka sempena Halloween, iaitu perayaan yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Laporan media tempatan menyatakan bahawa, suspek malah menunjukkan kepala manusia itu kepada orang awam termasuk kanak-kanak di mana pada awalnya rata-rata mereka tidak menyangka ia adalah kepala manusia yang sebenar. Polis kemudiannya dimaklumkan selepas orang ramai menyedari bahawa kepala yang dibuang di dalam tong kitar semula itu adalah kepala manusia sebenar. Suspek berjaya ditahan di sebuah flat berhampiran tidak lama kemudian selepas pihak berkuasa turut menemui mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an, yang merupakan rakan kepada suspek. Tiada komen rasmi daripada polis setakat ini susulan penemuan mengerikan itu. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!