SEORANG juruterbang warga New Zealand dipecat oleh syarikat penerbangan antarabangsa Taiwan, Eva Air, kerana menjadi punca penularan kes positif Covid-19 pertama di negara itu dalam tempoh lapan bulan. Pada Selasa, seorang kontak rapat kepada juruterbang berkenaan disahkan positif Covid-19, sekaligus mengakhiri tempoh 253 hari Taiwan tanpa kes tempatan. Juruterbang itu dipercayai dijangkiti virus berkenaan pada awal bulan ini tetapi dia tidak mengalami gejala. Dia dilaporkan mengalami batuk ketika dalam penerbangan ke Taiwan dari Amerika Syarikat, sebelum disahkan positif Covid-19 pada 20 Disember. Dua hari kemudian, Taiwan merekodkan penularan tempatan yang pertama dalam tempoh beberapa bulan. Pihak berkuasa mengenal pasti bahawa kes jangkitan melibatkan seorang wanita itu merupakan kontak rapat kepada juruterbang berkenaan. Pihak berkuasa mendenda juruterbang berkenaan sejumlah TWD300,000 (RM43,344) kerana gagal memaklumkan butiran kontak dan lokasi yang dikunjunginya kepada pihak berkuasa. Eva Air mengatakan juruterbang itu dipecat kerana melanggar prinsip operasi, termasuk kegagalannya memakai topeng pelitup di dalam kokpit. - BBC.Com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!