suria

Simpati gadis hidap kanser ginjal tahap empat, rakan sekelas sanggup jual roti kumpul dana

Kanak-kanak berusia 10 tahun dari AS, Maddie menderita kanser ginjal dan memerlukan dana bagi merawat penyakitnya. — AGENSI.

SEKUMPULAN pelajar di Idaho, Amerika Syarikat (AS) mengumpul dana bagi membantu rakan sekelasnya yang menghidap kanser.

Maddie, 10, didiagnosis kanser ginjal tahap empat pada April lalu setelah tujuh tahun menderita penyakit itu.

Rakan sekelasnya yang diketuai Jerrod Newburn dari North Star Charter School kemudiannya memutuskan untuk menjual roti bagi mengumpul dana membantu Maddie dan keluarganya.

Jerrod berkata, jumlah sebenar sasaran dana itu adalah sebanyak AS$1 juta (RM424 juta).

Bagaimanapun, jelas Jerrod, dia bersama ibunya Jessica Newburn hanya dapat menyumbang sebanyak AS$1,000 (RM4,241) kepada keluarga Maddie, itu pun jika semua roti berjaya dijual.

"Saya berharap masyarakat juga dapat menyumbang kepada keluarga ini dan menunjukkan bahawa kita prihatin akan nasib mereka.

"Kami menyukai Maddie dan menganggap dia adalah insan yang luar biasa, " kata Jessica menurut laporan People.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pengumpulan dana juga telah dilancarkan di GoFundMe untuk mereka yang ingin menyumbang kepada keluarga Maddie terutamanya yang tidak dapat membantu untuk menjual roti secara langsung.

Setakat ini, dana yang dikumpul adalah sebanyak AS$1,675 (RM7,100).

ARTIKEL BERKAITAN: Menyeramkan! Objek mistik berjaya dirakam Google Earth

Menurut laman GoFundMe, Tumor Wilms (Nefroblastoma) atau kanser ginjal, telah menyerang ginjal kiri Maddie sebelum penyakit itu telah merebak ke hati.

"Maddie mempunyai senyuman untuk dikongsi dan terus membawa kegembiraan kepada orang-orang di sekelilingnya," kata laman itu.

Sementara itu, Jerrod yang menantikan acara jualan roti pada minggu depan juga berharap supaya Maddie tabah menghadapi ujian itu.

"Ini kerana dia hanyalah seorang kanak-kanak yang kecil dan baik," katanya.

Acara jualan roti di North Star Charter School akan berlangsung pada Selasa, 24 Ogos iaitu antara pukul 4.30 petang dan 5.30 petang.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain