suria

"Kasihnya seorang bapa..." Pesara tentera sanggup berjalan berkaki ayam demi rawat anak

CHRIS mendukung anaknya, Hasti yang menghidap penyakit genetik. — Agensi

SEORANG bapa berusaha keras mencari penawar bagi penyakit genetik dihidapi anaknya yang berusia sembilan tahun.

Chris Brannigan, 41, berjalan kaki tanpa kasut dari Maine ke North Carolina, Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengumpulkan dana bagi penyakit Cornelia de Lange Syndrome (CdLS), dihidapi oleh Hasti.

“Kami tahu sebaik sahaja Hasti dilahirkan, dia menghadapi beberapa cabaran dan perkara yang tidak betul. Dia mengalami kekejangan dalam tempoh 24 jam sejak dilahirkan.

BERITA BERKAITAN: Angkara Covid-19, lelaki ini bertahan hidup hanya dengan RM37.50 sehari

BERITA BERKAITAN: Terbiar akibat taufan Katrina, taman tema ini akhirnya jadi ‘sarang hantu’

"Dia sukar untuk makan ketika tahun pertama kelahirannya dan perkara itu berterusan sehingga dia berusia lima tahun, sebelum dia mengucapkan sepatah perkataan,” katanya yang juga seorang pesara tentera British.

Setelah enam tahun Hasti didiagnosis penyakit itu, Chris dan isterinya, Hengameh diberitahu bahawa mereka tidak akan menemukan sebarang penawar.

“Ini sangat menakutkan kerana dia adalah kanak-kanak yang ceria dan cintakan kehidupan.

“Tetapi bermula dari usia 12 tahun, semua kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan CdLS mempunyai fungsi eksekutif yang menurun termasuk tingkah laku agresif, ADHD, gangguan spektrum autistik dan ada di antara mereka yang menjadi bisu. Kami tidak menginginkan perkara itu terjadi kepada Hasti,” katanya.

Januari lalu, Chris dan isterinya membangunkan kempen Hope for Hasti bertujuan mencipta terapi yang dapat merawat CdLS.

“Harapan kami adalah walaupun ia tidak akan pernah menyembuhkan penyakit itu, ia sekurang-kurangnya dapat memanjangkan hidup, meningkatkan kesihatan dan jangka waktu kesihatan, kemampuan kognitif, dan semoga suatu hari nanti memungkinkannya untuk memiliki kehidupan yang mandiri,” tambahnya.

Namun, katanya, beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan dana terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Kami memerlukan AS$3.5 juta (RM14.6 juta) bagi menjadikannya kenyataan untuk anak-anak.

“Jadi, kami tahu kami harus melakukan sesuatu yang besar, sesuatu yang benar-benar menarik perhatian orang,” katanya.

Chris yang pernah melakukan perjalanan di United Kingdom tahun lalu berkata, perjalanan tanpa kasut di seluruh AS adalah menyakitkan.

“Ramai orang melakukan perjalanan menggunakan basikal, tetapi kami fikir kami perlu melakukan sesuatu yang akan membuat orang ramai melihat dua kali dan kami akan menarik perhatian mereka. Sebab itulah kami memutuskan untuk melakukannya tanpa sebarang kasut.

“Berjalan kaki adalah mudah tetapi tanpa kasut ia adalah sangat sukar, sama seperti kehidupan Hasti,” katanya.

Berikutan perjalanannya selama 35 hari itu, Chris diiktiraf sebagai Pride of Britain Award, malah mendapat sorakan daripada penyanyi terkenal, Taylor Swift.

Katanya, perkara itu menggembirakan Hasti kerana dia sangat meminati muzik penyanyi itu. — People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

bapa, CdLS, anak, Chris Brannigan, Hasti

Artikel Lain