suria

Lelaki tertinggi di dunia ke Rusia cari calon isteri, dapat tahu wanita tempatan miliki kecantikan luar biasa

Sultan Kosen mempunyai ketinggian 2.51 meter. foto newsflash

LELAKI tertinggi di dunia berkunjung ke Rusia dalam usaha untuk mencari isteri baharu yang boleh memberikannya zuriat.

Sultan Kosen, 39, yang merupakan seorang petani Turki, menghidap tumor yang menjejaskan kelenjar pituitarinya, sehingga menghasilkan terlalu banyak hormon tumbesaran.

Dia memegang rekod dunia Guinness sebagai lelaki hidup tertinggi pada ketinggian 8 kaki 3 inci (2.51 meter).

Kosen yang berketurunan Kurdish berkata, dia akhirnya dapat membiasakan diri dengan ketinggian begitu tinggi, tetapi mengakui ia kadang-kala menyebabkan dirinya mengalami kesukaran dan ketidakselesaan.

Dia berkahwin dengan seorang wanita warga Syria setinggi 5 kaki 9 inci (1.75 meter) bernama Merve Dibo, 29, pada 2013.

Dalam satu wawancara, katanya, masalah terbesarnya dengan isteri adalah komunikasi kerana dia bercakap bahasa Turki, manakala isterinya hanya berbahasa Arab.

Walaupun mempunyai masalah komunikasi, perkahwinan mereka bertahan selama beberapa tahun sehingga akhirnya berpisah, baru-baru ini.

Dengan status kembali bujang, Kosen berkunjung ke Moscow pada awal Disember untuk mencari calon isteri baharu.

Menurut Kosen, dia mendengar bahawa wanita Rusia memiliki kecantikan yang luar biasa dan berjiwa penyayang menyebabkannya ke Rusia untuk mencari calon.

Dia berharap isteri baharu nanti dapat memberikan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Muncul dalam rancangan TV 'Let Them Speak' pada Isnin, Kosen berkata: "Sepatutnya mudah. Saya boleh menyediakan dengan baik dan tidak memerlukan wang.

"Saya ingin membawa isteri pulang ke Turki. Saya tinggal di tempat bersejarah, di tenggara tetapi agak jauh dari laut. Saya dengar bahawa wanita Rusia suka lelaki hot, sopan. Ia sepatutnya mudah!" katanya. - Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain