suria

Pekerja binaan ditahan, salur dana kepada kumpulan militan melalui platform mengumpul sumbangan dalam talian

Ahmed berdepan 15 dakwaan di bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan Singapura.

SEORANG bekas pekerja binaan berusia 27 tahun didakwa pada Khamis (23 Dis) kerana membiayai pengganasan dengan memindahkan sekitar S$900 (lebih RM2,700) kepada pertubuhan-pertubuhan yang berpangkalan di Syria.

Dia dipercayai mengetahui bahawa wang itu boleh digunakan untuk dimanfaatkan oleh kumpulan militan yang mahu menubuhkan khilafah Islam di Syria.

Ahmed Faysal, warga Bangladesh, didakwa membuat pindahan wang melalui beberapa platform mengumpul sumbangan secara dalam talian, seperti JustGiving, kepada badan-badan yang berpangkalan di Syria.

Dia dikatakan tahu wang itu akan memberi manfaat kepada kumpulan Hay’at Tahrir al-Sham, berdasarkan dokumen-dokumen mahkamah.

Ahmed berdepan 15 dakwaan di bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan Singapura.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menyatakan bahawa Ahmed sebelum ini ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kegiatan berkaitan keganasan dan dikenakan perintah tahanan (DO).

Sebelum itu, dia bekerja dalam sektor binaan di Singapura sejak awal 2017.

Dia menjadi radikal pada 2018 dan tertarik dengan matlamat kumpulan pengganas IS untuk menubuhkan khilafah Islam di Syria, menurut MHA.

Pada pertengahan tahun 2019, dia berpaling tadah dan melaungkan taat setia kepada Hay’at Tahrir al-Sham.

Siasatan serentak oleh jabatan ehwal komersial polis Singapura mendapati antara Februari dengan Ogos tahun lalu, dia didakwa memindahkan sehingga S$891 pada 15 kesempatan, dengan nilainya antara S$5 hingga S$303.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa dia didakwa menggunakan platform dalam talian JustGiving, Heroic Hearts Organisation dan GiveBrite untuk memindahkan wang bagi kempen seperti "Rumah Kecemasan Ramadan 2020 untuk Syria" dan "Bantuan Perubatan Syria".

MHA menyatakan bahawa Ahmed sedar wang itu boleh, sama ada kesemuanya atau sebahagiannya, digunakan untuk memberi manfaat kepada Hay’at Tahrir al-Sham di Syria.

Jika sabit kesalahan dan dipenjarakan, perintah tahanan terhadap Ahmed akan dibatalkan dan dia akan menjalani hukuman mahkamah yang dikenakan.

Dia juga akan ditahan secara berasingan daripada banduan lain untuk menghalangnya daripada menyebarkan idea radikal, tambah MHA.

Mereka yang disabitkan kesalahan menawarkan harta dan perkhidmatan untuk tujuan pengganas boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya.

MHA menyatakan bahawa mereka yang ingin menderma bagi tujuan kemanusiaan boleh menyemak Portal Amal bagi memastikan bahawa sumbangan mereka digunakan untuk tujuan amal yang sah. - Berita Media Corp

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain