SEORANG balu didenda £100 (RM548) kerana menziarahi kubur suaminya dengan membawa anjing. Lynda Martin menjadi orang pertama yang dikenakan notis penalti kerana melanggar peraturan di tanah perkuburan di Herne Bay pada 25 Februari. Wanita berusia 67 tahun itu kerap menziarahi kubur suaminya, Niall Willis, 81, bersama anjingnya, Megan, sejak suaminya disemadikan tahun lalu. Bagaimanapun ketika menziarahi tanah perkuburan tersebut bulan lalu, dia dihampiri pegawai penguatkuasa dan mendakwa dirinya diperlakukan seperti 'penjenayah'. "Saya telah dihampiri oleh seorang lelaki dengan kamera yang meminta butiran saya, dan saya diberi notis penalti £100 kerana membawa anjing di kawasan tersebut. "Saya boleh faham jika Megan mengamuk tetapi ia berkelakuan baik dan terkawal," ujar pesara tersebut. Lynda juga berkata dia tidak menyedari larangan tersebut yang telah dilaksanakan sejak 2017, justeru dia segera melunaskan denda tersebut. Bagaimanapun, dia menggesa agar larangan sedemikian dibatalkan kerana anjing kesayangannya telah menjadi peneman sejak setahun lalu selepas pemergian suaminya. Bagaimanapun, jurucakap Majlis Bandaraya Canterbury menjelaskan bahawa pihak berkuasa mengenakan denda selepas menerima beberapa aduan. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI