suria

Ramalan cuaca angkasa lepas dedah ribut suria landa bumi hari ini, apa sebenarnya yang terjadi?

NOAA melaporkan bahawa kebanyakan ribut geomagnet yang disebabkan oleh fenomena ribut suria masih dalam kategori ringan. (Foto: SHUTTERSTOCK/Lia Koltyrina)

RIBUT suria dijangka melanda bumi hari ini, lapor ramalan cuaca angkasa lepas oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA).

Biarpun berada dalam kategori ringan, pakar berkara ribut matahari itu masih boleh memberi kesan kepada bumi.

Dalam ramalan cuaca angkasa lepas yang dikeluarkan itu, ribut suria yang melanda bumi berpotensi menyebabkan pemadaman radio kecil.

Selepas berbulan-bulan melakukan aktiviti tinggi, matahari pada masa ini bergerak dengan suar suria yang sengit, selalunya disertai dengan letupan plasma gergasi yang dikenali sebagai coronal mass ejections (CMEs).

Apabila CME melalui bumi, ia boleh memampatkan atau menekan perisai magnet planet buat seketika.

Akibatnya, kesan ribut suria ini akan dapat menghasilkan ribut geomagnet yang boleh melumpuhkan grid kuasa, mengganggu gelombang radio dan merosakkan satelit di laluannya.

Bagaimanapun, NOAA melaporkan bahawa kebanyakan ribut geomagnet yang disebabkan oleh fenomena ribut suria masih dalam kategori ringan.

Namun, letupan plasma gergasi terbesar boleh mencetuskan ribut suria yang lebih ganas seperti peristiwa Carrington pada tahun 1859.

Peristiwa ini mencipta arus elektrik yang begitu kuat sehingga peralatan telegraf terbakar.

Sesetengah saintis telah memberi amaran bahawa satu lagi ribut suria sebesar peristiwa Carrington 1859 boleh melanda bumi sehingga berlakunya 'kiamat internet' yang menyebabkan banyak negara berada dalam keadaan offline selama berminggu-minggu, malah berbulan-bulan. - Kompas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain