suria

Bapa sedih permintaan anak berakhir tragedi, 3 beradik parah dalam insiden gelongsor air

Kejadian berlaku di sebuah taman air di Surabaya di Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu.

KERIANGAN meraikan cuti Aidilfitri di taman tema akhirnya bertukar tragedi.

Sekumpulan pengunjung cedera dalam insiden runtuhan papan gelongsor air di taman tema di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! 16 cedera ketika main gelongsor air di taman tema

Turut terkesan tentunya bapa mangsa, Abdul Malik Syadili dan isteri, Yatimah yang sedih apabila ketiga-tiga anak mereka cedera parah dalam kejadian itu.

Tiga anaknya iaitu Ermila Syabrina Assyarqowi, Siti Saadatul Syakdiyah Assyarqowi dan Muhammad Zainul Mustofa Assyarqowi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Dr Seotomo Surabaya.

Syadili berkata, anaknya ditempatkan di bilik kecemasan dan berada di bawah pengawasan doktor.

"Tiga anak saya dalam keadaan lemah... dua daripada mereka patah tulang belakang badan, di kaki dan tangan.

"Ketiga-tiga mereka masih belum stabil," kata Syadili ketika ditemui pada Sabtu.

Syadili berkata, anaknya, Aida (Siti Saadatul Syakdiyah Assyarqowi) merupakan pelajar yang aktif di Universiti Muhammad Surabaya (UMS).

Aida mengalami patah tulang di kaki kiri dan belakang serta mengalami pendarahan di kepala.

Manakala Syabrina juga mengalami patah tulang belakang, patah kaki kiri dan mengadu sakit dada.

Menurut Syadili, kunjungan mereka sekeluarga ke taman tema itu bagi memenuhi permintaan ketiga-tiga anaknya yang mahu menghabiskan cuti sempena Aidiliftri.

Dia bagaimanapun pada mulanya tidak mengesyorkan lokasi itu yang dijangka mengalami kesesakan dengan ramai pengunjung.

Dalam kejadian pada Sabtu, seramai 16 mangsa cedera selepas terjatuh akibat runtuhan papan gelongsir air, di mana sebahagian besarnya adalah kanak-kanak. - Kompas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain