PENDUDUK di kawasan tengah Chaoyang dan luar Shunyi di daerah Beijing, China diseru untuk tidak meninggalkan lokasi penempatan bermula 8 Mei. Ia susulan pihak berkuasa tempatan daerah itu meningkatkan kawalan wabak Covid-19 bagi membendung kes jangkitan baharu yang direkodkan. ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang penularan Covid-19, dine-in restoran tidak dibenarkan bermula 1 Mei Timbalan ketua daerah Chaoyang, Yang Beibei berkata, pihaknya merekodkan kes baharu jangkitan wabak pada Ahad berikutan sesetengah penduduk tidak mengikuti langkah kuarantin yang ditetapkan. "Penduduk telah diarahkan bekerja dari rumah dan semua syarikat yang tidak menyediakan perkhidmatan penting atau keselamatan awam perlu ditutup. "Selain itu, pawagam, restoran dan tempat awam lain akan ditutup dan pemeriksaan kawasan akan dijalankan," tambahnya. Dalam pada itu, jurucakap perbandaran Beijing, Xu Hejian berkata, kes komuniti baharu adalah risiko terbesar dan kakitangan perubatan digesa untuk memberi fokus kepada varian Omicron. "Kita mesti menentukan tempat dan orang berisiko sekali gus selain menggunakan langkah sekatan seawal mungkin, agar tidak terlepas sebarang risiko penyebaran," katanya. Di sekitar China pula, kerajaan tempatan turut menghentikan pengangkutan awam serta menutup tempat awam selepas puluhan kes dilaporkan. - South China Morning Post Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI