suria

Banduan lapar terpaksa makan daging manusia, penjara ini dianggap ‘neraka’ dunia... Bau busuk sampai lebih 1 kilometer

Sesetengah banduan dipercayai makan mayat si mati dalam penjara itu kerana mereka terlalu lapar. Foto: Gamma-Rapho via Getty Images.

PENJARA Gitarama yang terletak di Rwanda, Afrika dianggap sebagai tempat paling kejam di atas muka bumi.

Penjara itu pada asalnya dibina pada tahun 1960 sebagai tempat tinggal untuk pekerja British.

Ia kemudiannya ditukar menjadi penjara yang direka untuk menahan kira-kira 400 banduan.

Menurut laporan, hanya sedikit makanan asas yang dibekalkan kepada banduan setiap hari.

Ia menyebabkan mereka berada dalam keadaan lapar sehingga terpaksa makan mayat banduan lain yang meninggal dunia.

Selain itu, timbul juga kisah mengenai banduan yang terpaksa tidur di dalam tandas dan loji kombahan.

Mereka juga dikatakan sering bergaduh kerana perlu bersesak dalam ruangan yang sempit.

ARTIKEL BERKAITAN: Dihantar ke penjara lelaki, transgender tak puas hati mahu saman pihak berkuasa

Selain itu, penularan penyakit juga mudah berlaku kerana persekitaran yang sempit dan tidak sihat.

"Ramai banduan mati di Gitarama setiap hari. Jika wabak berlaku, tidak tahu berapa ramai yang boleh mati," ujar Brigitte Troyon dari Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa yang menyediakan bantuan perubatan kepada penjara itu.

gitarama

Lebih 1,000 lelaki dilaporkan telah meninggal dunia di Gitarama pada tahun 1995 sahaja. Foto: DDP/AFP via Getty Images.

Dikatakan 38 peratus banduan dirujuk ke hospital kerana cedera selepas dipukul termasuklah patah tulang dan kesan gigitan manakala 41 peratus lagi didapati mengalami kaki reput kerana berdiri berkaki ayam di atas tanah yang kotor dan bertaburan dengan najis.

Ramai banduan telah mengalami gangren pada bahagian kaki mereka, dan ia adalah perkara biasa untuk jari kaki reput sehingga mereka jatuh sakit.

Lebih 1,000 lelaki dilaporkan telah meninggal dunia di Gitarama pada tahun 1995 sahaja.

Malah pada hari ini, bau busuk najis dan daging busuk boleh dikesan sehingga 1.6 kilometer (km) jauhnya.

"Keadaan di sini benar-benar tidak berperikemanusiaan," kata Troyon.

Dalam pada itu, Bekas Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, Sir Jeremy Hamley, mendedahkan lebih 2,000 penghuni telah meninggal di 13 penjara yang terletak di Rwanda pada tahun lepas.

"Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa percaya bahawa lebih 2,000 orang telah meninggal dunia di 13 penjara di Rwanda pada tahun lepas, kebanyakannya disebabkan oleh masalah kesihatan yang disebabkan oleh kesesakan. Kebanyakannya berada di Penjara Gitarama," ujarnya. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain