APLIKASI TikTok bukan sahaja digilai anak muda, malah turut disertai oleh golongan berusia. Namun, ada pihak kurang senang dengan influencer berusia 30 tahun ke atas dan menganggap mereka tidak sesuai dengan aplikasi berkenaan. Topik itu hangat diperkatakan selepas ia diterbitkan menerusi akaun Instagram Celeb Spellcheck yang mempunyai lebih 238,000 pengikut, baru-baru ini. "Influencer berusia 30 tahun ke atas pernah melalui zaman gemilang di Instagram beberapa tahun lalu, namun kini mereka sudah tidak sesuai untuk menyertai TikTok. "TikTok adalah permainan yang baharu. Anda perlu menawarkan sesuatu, tak boleh bergantung kepada wajah yang cantik semata-mata. TikTok sangat kejam," ujar pengendali akaun Instagram itu. Kenyataan itu meraih perhatian ramai, malah turut menjadi perbualan netizen di media sosial. Identiti pengendali akaun berkenaan turut menjadi tanda-tanya dalam kalangan netizen. Menurut netizen, mereka beranggapan akaun Instagram itu dikendalikan oleh seorang wanita berusia lewat 20-an yang menetap di Melbourne, Australia. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI