MALANG tidak berbau. Seorang wanita nyaris maut selepas terperangkap di dalam bilik air rumahnya di sekitar On Nut, Phra Khanong, Thailand selama tiga hari. Pada masa kejadian, mangsa yang tinggal bersendirian di rumah tiga tingkat itu, tidak membawa bersama telefon bimbitnya sehingga menyukarkan panggilan dibuat ke mana-mana pihak termasuk ahli keluarga. 'Kehilangan' mangsa hanya disedari kakaknya selepas dia gagal dihubungi. Ekoran itu, laporan polis dibuat sebelum polis memecah masuk ke kediaman mangsa pada Jumaat. Pegawai polis di Phra Khanong, Kapten Charnchai Sornsiang berkata, dia dan pasukannya ke kawasan On Nut untuk bertemu dengan kakak mangsa yang tidak dapat memasuki rumah terbabit. "Pasukan terpaksa memecah masuk bagi tujuan pemeriksaan. "Kami tidak menemukan sesiapa di aras bawah jadi terus melanjutkan pemeriksaan di aras kedua sebelum terdengar ketukan pintu dan suara meminta tolong dari tingkat atas sekali," ujarnya. Menurutnya lagi, mangsa terkunci di dalam bilik air yang bersambung dengan bilik tidurnya dan tinggal sendirian. Tambahnya, dia dan pasukan mengambil masa kira-kira satu jam untuk membuka kunci bilik air. "Mangsa ditemukan dalam keadaan letih namun masih boleh berjalan. Dia hanya minum air paip sebagai alas perut sepanjang tempoh terkunci. "Kami juga melihat mesej 'saya terperangkap pada 22 Ogos' yang ditulis di dinding bilik air menggunakan krim muka," jelasnya. - Bangkok Post Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI