SEORANG budak lelaki terbunuh dalam pertempuran yang tercetus selepas perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Maghribi, awal pagi Khamis. Pihak berkuasa tempatan melaporkan bahawa insiden maut itu berlaku di bandar selatan Montpellier, Perancis. Walaupun Maghribi menunjukkan semangat juang tinggi semasa perlawanan, Perancis menamatkan impian mereka untuk mara ke peringkat seterusnya dengan kemenangan 2-0. ARTIKEL BERKAITAN: Argentina ke final Piala Dunia... bakal menentang Perancis atau Maghribi? Menurut kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan tempatan di Hérault, seorang kanak-kanak yang tidak dinamakan telah dilanggar sebuah kereta selepas perlawanan tersebut. “Seorang budak lelaki dilanggar pada petang Rabu (waktu tempatan) di Montpellier oleh seorang pemandu, selepas perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022. “Mangsa dipindahkan ke hospital, dan meninggal dunia sejurus mendapat rawatan kecemasan. Bunga api dan suar juga dilemparkan semasa rusuhan berlaku. “Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan juga orang-orang tersayang mangsa. “Kenderaan itu ditemui berhampiran tempat kejadian. “Siasatan polis sedang dijalankan di bawah arahan pihak pendakwaan. Sebilangan besar polis telah ditempatkan di lokasi kejadian. Pihak polis terpaksa ditempatkan di lokasi kejadian untuk mengawal keadaan selepas peminat kedua-dua pasukan bola sepak itu bertempur sesama sendiri. Maghribi menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama yang berjaya mara ke peringkat tertinggi dalam edisi Piala Dunia.. Perancis kini mempunyai satu lagi perlawanan untuk memenangi Piala Dunia 2022. Pasukan itu akan menentang Argentina pada perlawanan akhir Ahad ini. - METRO Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI