suria

Manusia tertua di dunia meninggal pada usia 118 tahun… Sister Andre ‘pergi’ dalam tidur

Sister Andre meninggal dunia pada usia 118. Foto: Nicolas Tucat/AFP

MANUSIA tertua di dunia, Lucile Randon meninggal dunia pada usia 118 tahun.

Dilaporkan, birawati yang juga dikenali sebagai Sister Andre itu meninggal dunia ketika tidur di rumah jagaan warga emas di Toulon, selatan Perancis.

Mendiang adalah warganegara kehormat Toulon ini dilahirkan di bandar Ales, selatan Perancis pada 11 Februari 1904.

Sister Andre merupakan wanita berasal dari Perancis juga kedua tertua di negaranya dan orang Eropah kedua tertua pernah direkodkan.

Menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk aktiviti keagamaan, Sister Andre juga pernah memegang rekod sebagai biarawati tertua yang hidup.

Baru-baru ini, Sister Andre menerima satu lagi rekod mengejutkan apabila dia dinobatkan sebagai mangsa Covid-19 tertua yang terselamat.

Selepas zaman peperangan berakhir, dia menghabiskan masa selama 28 tahun bekerja untuk anak yatim dan orang tua di sebuah hospital di Vichy, wilayah Auvergne-Rhone-Alpes sebelum menjadi biarawati Katolik.

"Adalah satu penghormatan untuk merekodkan kisahnya dalam halaman buku Rekod Dunia Guinness, dan nama Lucile akan terus terpahat dalam sejarah sebagai manusia keempat tertua," demikian menurut kenyataan Guinness World Records.

Selepas kematiannya, Maria Branyas Morera yang tinggal di Sepanyol kini menyandang gelaran manusia tertua di dunia pada usia 115 tahun. - Guinness World Records

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain