KERETA Tesla sememangnya dilengkapi ciri-ciri teknologi yang membenarkan pemanduan automatik tanpa perlu ada kehadiran pemandu. Begitulah kisahnya di Lebuhraya 15 berhampiran Temecula, California apabila seorang wanita dirakamkan oleh pemandu lain sedang tertidur di dalam kereta Tesla miliknya. Portal People.com melaporkan bagaimana seorang wanita yang berkaca mata hitam sedang tertidur di tempat pemandu sambil kenderaannya laju meluncur di lebuh raya. Kejadian bermula apabila Vasiliki Dolas dan pasangannya sedang menyusuri lebuh raya terbabit pada Khamis minggu lalu apabila mereka melihat seorang pemandu tertidur di dalam Teslanya. Dolas yang merakamkan situasi itu dengan kameranya berkata dia mengikuti Tesla berkenaan selama 15 minit sebelum menghubungi polis untuk melaporkan kejadian. "Seseorang perlu bangunkan Sleeping Beauty itu," kata Dolas. Dolas berkata pemandu itu yang memakai cermin mata hitam kelihatan tidak responsif walaupun dia berulang kali cuba menarik perhatian wanita tersebut. "Kami mula membunyikan hon untuk cuba menarik perhatiannya kerana mungkin dia mengalami kecemasan kesihatan atau sesuatu," katanya. Pegawai Peronda Lebuhraya California (CPH) Mike Lassig memberitahu bahawa pegawai tidak mengejar pemandu sesuka hati kerana tidak jelas sama ada individu terbabit sedang tidur, mabuk atau mengalami kesan perubatan. - People.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube