suria

Wajah wanita purba lebih 2,000 tahun diukir semula, kini jadi pameran di muzium

Wajah wanita purba ini diukir semula untuk tatapan pengunjung muzium. Foto: CNN

ARAB Saudi mempamerkan replika wajah seorang wanita Nabataean purba selepas beberapa tahun ahli sejarah dan ahli arkeologi cuba melakukannya.

CNN melaporkan, pembinaan replika wajah wanita purba itu adalah yang pertama seumpamanya.

Ia berdasarkan model tinggalan Hinat, seorang wanita Nabataean yang ditemukan pada 2015 di sebuah kubur berusia 2,000 tahun di Hegra.

Hegra adalah tapak arkeologi yang terletak di bandar oasis purba al-Ula, di barat laut Arab Saudi.

Dibiayai oleh Suruhanjaya Diraja untuk al-Ula, pembinaan replika wajah wanita purba itu bermula di United Kingdom (UK) pada 2019.

Pasukan pakar terdiri pelbagai disiplin membina semula serpihan tulang yang ditemukan di dalam kubur untuk membina semula imej penampilan wanita purba itu menggunakan data antropologi dan arkeologi.

Seorang pengukir kemudian menggunakan pencetak tiga dimensi (3D) untuk menghidupkan wajahnya.

Orang Nabataean adalah tamadun Arab kuno yang mendiami utara Arab dan Levant lebih 2,000 tahun dahulu. Bandar Petra purba di Jordan adalah ibu kota kerajaan mereka, menjadi hab perdagangan antarabangsa terpenting zaman itu untuk urus niaga komersial termasuk industri rempah ratus, perubatan dan fabrik, yang difasilitasi oleh orang Nabataean.

Hegra yang dibuka pada 2020 sebagai tapak pelancongan adalah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan pernah menjadi hab perdagangan antarabangsa yang berkembang pesat termasuk menjadi penempatan kepada penduduk Nabataean.

Tamadun Nabataean tidak meninggalkan teks sejarah yang penting.

Maklumat mengenai tamadun itu datangnya daripada inskripsi pada makam dan batu di seluruh Timur Tengah, atau daripada penemuan arkeologi. - CNN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain