suria

Kumpulan ‘supernatural’ Indonesia buat kerja mengarut dakwa ‘berkomunikasi’ dengan penumpang MH370

Kumpulan 'supernatural' mendakwa 'berkomunikasi dengan salah seorang penumpang MH370.

SELEPAS hampir sembilan tahun pesawat MH370 hilang dan terus jadi misteri, sekumpulan tiga individu yang menggelarkan diri mereka pakar supernatural atau perkara ghaib mendakwa telah 'berkomunikasi' dengan salah seorang penumpang pesawat tersebut.

Menerusi perkongsian video di laman sosial, ketiga-tiga mereka, seorang lelaki dan dua wanita dipercayai warga Indonesia berdasarkan bahasa digunakan.

Lelaki dalam video itu mendakwa dia mendapat 'isyarat' mengenai pesawat MH370 ketika sedang berbual mengenai kehilangan pesawat itu bersama rakannya.

"Saya tidak tahu di mana pesawat tersebut jatuh, tetapi secara tenaganya, saya boleh rasakan itulah lokasinya," kata lelaki itu.

Dia turut mendakwa dua teman seperjuangannya boleh 'berhubung' dengan penumpang pesawat berkenaan.

pray for mh370

Pada 8 Mac depan, genap sembilan tahun kehilangan pesawat MH370.

"Kita bertemu dengan arwah yang agak 'burn' (rentung), jadi hitam.

"Kami belum tahu itu arwah dari MH370 atau bukan, kami perlu memastikan dulu mungkin arwah yang lain dalam radar," katanya, yang menyebut penumpang itu sebagai 'arwah'.

Salah seorang wanita memberitahu, mereka mengajak penumpang tersebut berkomunikasi dan hanya menunjukkan bahasa isyarat.

"Dia memegang lehernya dan 'memberi isyarat' dia tidak dapat bercakap," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MH370 jadi 'trending' selepas jurutera British dakwa temui lokasi sebenar pesawat terhempas

Menerusi video berdurasi 5 minit dan 39 saat itu, mereka kemudian mendakwa penumpang itu merupakan warga China selepas 'dia' mengangguk kepala ketika ditanya mengenai kewarganegaraannya.

Malah, apabila seorang wanita lagi cuba berbahasa Mandarin, penumpang menganggukkan kepala ketika ditanya sama dia merupakan penumpang dalam tragedi itu.

"Dia cakap ya, dia angguk," katanya namun mempersoalkan kenapa dia tidak dapat bercakap.

Lelaki itu kemudian bertanya apakah yang berlaku kepadanya, kerana menyangka 'mangsa' mengalami masalah pertuturan sejak lahir.

"Katanya leher dia seperti diikat, tangannya ke belakang diikat. Dia mengisyaratkan tangan seperti itu," katanya.

Seakan berputus asa kerana tidak dapat bercakap dengan 'penumpang' itu, lelaki tersebut mendakwa ia kelihatan hitam mungkin meninggal dunia akibat terbakar atau bukan.

"Kami memohon maaf jika maklumat ini sensitif kerana ini mengaitkan nyawa banyak keluarga dan banyak orang yang ditinggalkan, kami hanya berusaha menceritakan apa yang kami lihat dari kaca mata supernatural kami,” katanya.

Setakat ini, video yang dimuat naik di laman TikTok itu meraih lebih 800,000 tontonan.

penumpang mh370

Antara komen netizen.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen dari Malaysia hanya beranggapan kenyataan yang dikeluarkan mereka sebagai mengarut.

"Ini hiburan je la, melawak.

"Merapu habis.

"Hiburan semata-mata, bagus terhibur.

"Jiran sebelah memang pelik-pelik, tak hairan," demikian antara komen netizen.

Sebagai peringatan, kepercayaan yang mengandungi unsur khurafat dan tahyul adalah bercanggah dengan akidah Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam garis panduan Khurafat dan Azimat menyatakan khurafat sebagai cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Pada 8 Mac depan, genap sembilan tahun kehilangan pesawat MH370 yang terus menjadi misteri dalam sejarah penerbangan dunia.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777 hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain