THAI Airways sedang menyiasat insiden di mana kru dalam penerbangan dari Singapura ke Bangkok gagal mengutip semula bekas makanan di meja lipat penumpang sebelum pesawat mendarat. Perkara itu dimaklumkan pasukan komunikasi korporatnya, di Facebook. Siasatan itu susulan tular satu video di akaun TikTok @Praewa_panicha yang menunjukkan bekas makanan masih berada di atas meja lipat di satu barisan tempat duduk tiga penumpang. Menurut individu berkenaan, situasi tersebut membuatkan dia dan dua rakannya tidak selesa. Menerusi ruangan komen, individu itu berkata dia sudah menekan loceng untuk memanggil pramugari sebelum mendarat, tetapi tiada sesiapa yang muncul. Pada Sabtu, individu itu menyiarkan klip video kedua ketika penerbangan berkenaan, menceritakan lebih lanjut tentang kesulitan yang dia dan rakan-rakannya alami. Dia dan rakan-rakannya terpaksa memegang bekas makanan untuk mengelakkan ia tumpah dan mengotorkan pakaian atau lantai. Selepas pesawat mendarat, dia terpaksa meminta seorang pramugari mengeluarkan bekas makanan supaya mereka boleh keluar dari tempat duduk, tambahnya. "Thai Airways International Plc ingin menjelaskan bahawa syarikat telah belajar daripada insiden itu dan tidak mengabaikannya," kata pengumuman syarikat penerbangan itu di Facebook. "Kejadian itu mungkin berlaku atas beberapa faktor dan syarikat sedang dalam proses siasatan segera," katanya. - Thestar/Asianewsnetwork Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube