suria

Pengantin perempuan minta kain kafan sebagai mas kahwin, simbolik cinta sejati sehingga mati

Acara pernikahan pasangan ini menjadi tumpuan kerana pengantin perempuan meminta kain kafan sebagai mas kahwin.

LAZIMNYA, pengantin lelaki akan memberikan pasangannya wang, perhiasan atau persalinan sebagai mas kahwin atau mahar.

Namun lain pula dengan pasangan pengantin dari Lombok, Indonesia ini.

Pasangan berkenaan mengejutkan warga maya apabila pengantin perempuan hanya meminta kain kafan sebagai mas kahwin.

Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna dikenali sebagai It's Me di TikTok, kedengaran jurunikah menyebut mahar perkahwinan berupa kain kafan serta wang tunai berjumlah 2.58 juta rupiah (RM753) ketika acara ijab dan kabul.

Pemilik video tersebut, Febriana Dwi Sulastri mendedahkan pengantin terbabit adalah ibu saudaranya.

Menerusi ruangan komen, wanita itu menjelaskan bahawa pengantin perempuan sudah ditawarkan mas kahwin lain oleh suaminya namun dia menolak dan mahukan kain kafan sebagai maharnya.

"Yang ditawarkan itu hanyalah kesenangan dunia dan kain kafan mengingatkan kita dengan kematian dan melambangkan cinta sampai ajal memisahkan," katanya.

Difahamkan, pernikahan pasangan berkenaan berlangsung pada 18 Januari lalu di Kampung Kulakagik, Lombok Tengah. - Wolipop

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain