HARI yang sepatutnya menggembirakan bagi seorang lelaki bertukar derita apabila beberapa bekas teman wanita muncul untuk mensabotaj majlis perkahwinannya. Tetamu di sebuah majlis kahwin di Kampung Hengdi, wilayah Yunan China, turut terkejut dengan apa yang berlaku, dalam kejadian 6 Februari lalu. Lebih kurang 12 wanita muncul di luar venue perkahwinan sambil memegang sepanduk besar yang tertulis 'Kami adalah bekas teman wanita Chen Song, dan hari ini kami akan memusnahkan kamu'. Pada mulanya, ramai yang percaya ia adalah 'prank' atau gimik yang dirancang tetapi mereka kemudiannya sedar bahawa wanita-wanita itu sememangnya bekas kekasih Song yang merancang untuk merosakkan hari bahagianya. Sebuah video tular menunjukkan kumpulan tersebut berdiri di seberang jalan dari venue perkahwinan Song. Beberapa tetamu dilihat pergi ke arah kumpulan wanita berkenaan untuk bertanya tentang protes mereka, malah Song dan pasangannya juga pergi bertemu mereka. Sebahagian daripada kumpulan bekas teman wanita yang hadir. "Ia agak memalukan saya. "Kini isteri yang baru saya kahwini dan keluarganya kecewa dengan saya," kata Song kepada Feidian Video. Pengantin lelaki itu mengakui pernah berkelakuan buruk terhadap beberapa bekas teman wanitanya sebelum ini, tetapi mendakwa dirinya kini sudah dewasa dan berubah. Bagaimanapun, isteri dan mentua dilaporkan tidak bercakap dengannya sehinggalah mereka puas hati dengan penjelasan berhubung kejadian itu. "Saya tak matang ketika zaman muda dan saya membuatkan ramai gadis terluka," katanya sambil menambah dia kesal dengan sikapnya yang lalu dan menasihati lelaki lain untuk melayan wanita dengan baik. Walaupun berdepan pengalaman yang memalukan, Song tidak mendapat sebarang simpati di media sosial, dengan kebanyakan warganet menganggap dia bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan sebelum ini. Mereka juga menasihati pengantin perempuan untuk melarikan diri. "Isterinya patut berterima kasih kepada kumpulan bekas teman wanita. Kalau saya jadi dia, saya akan serta merta minta cerai,” tambah seseorang lagi netizen. - Oddity Central Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube