suria

Pasangan muda ditemui mati tergantung pada dahan pokok, pernah minta dikebumikan bersama

Charlie Eccleston dan Zaiga Gravenieks ditemui tergantung di sebuah hutan di Shenley, Hertfordshire.

SEHIDUP semati bersama.

Itulah ungkapan sesuai bagi pasangan kekasih muda ini yang ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tergantung pada dahan pokok yang sama, yang kemudian dikebumikan bersama.

Mayat Charlie Eccleston, 19, dan Zaiga Gravenieks, 20, ditemui oleh unit anjing pengesan polis di sebuah hutan di Shenley, Hertfordshire pada pagi 5 November 2017.

Dilaporkan, sebuah teksi telah menurunkan pasangan tersebut berhampiran hutan, demikian inkues mahkamah diberitahu.

Pemeriksaan bedah siasat mendapati pasangan berkenaan meninggal dunia akibat asphyxia, manakala kesan kokain dan ganja turut dikesan berada di dalam badan mereka.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan kepada koroner Hertfordshire, Geoffrey Sullivan, ibu mendiang Charlie, Jo berkata: "Mereka hidup bersama, mati bersama dan atas permintaan mereka dikebumikan bersama."

Jo berkata Charlie bergelut dengan kesihatan mental sejak berumur 12 tahun, dan menunjukkan tanda-tanda psikosis serta halusinasi yang menyuruhnya membunuh diri.

Sementara itu Zaiga, dari Harpenden, pula didiagnosis dengan anoreksia dan sindrom autism Asperger, kata ibunya, Ausma, dalam satu kenyataan.

Profesor Hilary McCallion yang meneliti rawatan kesihatan mental pasangan berkenaan akan mengemukakan bukti pada esok.

Inkues berterusan dan dijangka berlangsung selama tiga hari. - Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain