suria

Pasangan tuntut ganti rugi, malu tukang cuci tingkap nampak mereka bogel ketika selak langsir... terbantut hajat nak layan ‘view’ sungai

Sepasang kekasih kecewa tidak diberitahu tentang kerja-kerja mencuci cermin tingkap ketika menginap di sebuah hotel. -SCMP Composite

SEORANG lelaki membuat aduan kepada sebuah hotel mewah selepas pekerja pencuci cermin tingkap melihat dia dan teman wanita dalam keadaan berbogel ketika mereka menyelak langsir bilik yang dihuni di tingkat 41.

Lelaki berkenaan, dikenali sebagai Xu, membayar 1,649 yuan (RM1,062) satu malam untuk bilik deluxe dengan pemandangan sungai bersama teman wanitanya di hotel bertaraf lima bintang di wilayah pantai timur China, Zhejiang pada 6 Mac.

Xu berkata, keesokan paginya, ketika menyelak tirai dalam keadaan tidak berpakaian, mereka terkejut melihat 'pemandangan' pencuci tingkap dan bukannya sungai, lapor Shanghai Morning Post pada 20 Mac.

Tambah Xu, dia meminta pihak hotel memohon maaf kerana tidak memberitahu lebih awal tentang masa kerja-kerja pembersihan tingkap dilakukan, membayar balik perbelanjaan hotel dan membayar pampasan atas kerosakan emosi yang mereka alami.

Pihak hotel mencadangkan mereka untuk tinggal selama dua hari lagi sementara menunggu staf menangani aduan mereka. Bagaimanapun, Xu berkata tiada staf datang menemui mereka selepas dua hari menyebabkan mereka perlu membayar kos untuk malam tambahan.

Staf perhubungan awam Conrad Hangzhou, Zhong, berkata mereka tidak dapat memberikan masa yang tepat untuk membersihkan tingkap disebabkan faktor yang tidak terkawal seperti cuaca.

Zhong juga berkata pihak hotel tidak dapat memaklumkan setiap pelanggan kerana mereka tidak mengetahui jam berapa mereka tidur, sambil menambah bahawa mereka hanya boleh meletakkan notis di dalam bilik mengingatkan orang ramai tentang pembersihan tingkap 'dalam masa terdekat'.

Menduduki tingkat 26 hingga 50 di salah satu menara berkembar Raffles City di Hangzhou, hotel ini mempunyai tarikan 'bilik tetamu di langit' dan tingkap panoramik Perancis, di mana seseorang boleh menikmati pemandangan berlatar belakang langit walaupun semasa berendam di dalam tab mandi.

Di media sosial ada yang memberi sokongan kepada pasangan itu dan ada juga yang simpati dengan tukang cuci tingkap tetapi berpandangan pihak hotel harus bertanggungjawab.

"Saya tak tahu sama ada pasangan itu menderita terkejut, tapi saya pasti tukang cuci tingkap mengalaminya.

"Pembersih tingkap pasti sangat malu dan dia tidak mempunyai tempat untuk lari.

"Tetamu hotel berhak untuk berbogel di dalam bilik mereka, dan juga hak mereka untuk menikmati pemandangan sungai yang diiklankan oleh hotel. Pihak hotel harus memberi pampasan kepada pelanggan dan pembersih tingkap," demikian antara komen netizen. -SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain