TULAR di media sosial satu klip video memaparkan Dalai Lama mencium bibir seorang kanak-kanak. Kejadian itu berlaku di hadapan orang ramai ketika kanak-kanak itu tunduk dan memberikan penghormatan kepadanya. Susulan insiden itu, pemimpin rohani Tibet itu tampil menyatakan rasa kesal atas perbuatannya mencium bibir dan meminta kanak-kanak India itu menghisap lidahnya. Dalam satu kenyataan, Dalai Lama yang berusia 87 tahun itu memohon maaf kepada kanak-kanak itu dan keluarganya. "Tular satu klip video yang menunjukkan seorang budak lelaki bertanya kepada Yang Mulia Dalai Lama jika dia boleh memeluknya dalam satu pertemuan baru-baru ini. "Yang Mulia ingin memohon maaf kepada budak lelaki itu dan keluarganya, serta ramai rakannya di seluruh dunia, kerana kata-katanya yang melukakan hati. "Dia sering mengusik orang yang ditemuinya tanpa rasa bersalah dan suka bermain, walaupun di khalayak ramai dan di hadapan kamera. Dia kesal dengan kejadian itu," kata pejabatnya dalam satu kenyataan. Seperti dapat dilihat dalam rakaman dikongsikan, setelah dicium, beberapa saat kemudian pemimpin Buddha itu dilihat menunjukkan mulut dan menjelirkan lidahnya kepada kanak-kanak berkenaan. "Bolehkah kamu menghisap lidah saya," dia didengar bertanya kepada kanak-kanak itu. Aksi itu menimbulkan kemarahan dan kecaman daripada netizen dengan pengguna Twitter menyifatkan perbuatan itu sebagai tingkah laku ‘menyeramkan’ dan ‘menjijikkan’. - INSIDER.COM Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube