SEORANG gadis yang kehilangan kakinya dalam kemalangan roller coaster di Alton Towers pada tahun 2015 menyifatkan impak kejadian itu seperti sebuah kereta yang dipandu sehingga melanggar dinding konkrit. Menurut Leah Washington, kejadian roller coaster berlanggar itu berlaku ketika dia berusia 17 tahun, menyebabkan lututnya hancur dan mengalami patah jari. "Saya masih ingat semua yang berlaku. Rasanya seperti memandu kereta dan langgar dinding konkrit. Saya tahu lutut saya cedera teruk tetapi saya tidak rasa sakit. "Saya fikir mungkin saya hanya patah beberapa tulang. Pada waktu itu, tiba-tiba rasa sejuk dan mulut saya menjadi sangat kering. "Kemudian saya baru rasa sakit melanda sehingga paramedik menyuntik saya dengan ubat tahan sakit," imbasnya. Menurut Leah, dia pergi ke taman tema itu dengan teman lelakinya, Joe Pugh untuk menikmati waktu bersama sebagai pasangan kekasih. Leah, yang kini mempunyai 30,000 pengikut Instagram berjalan menggunakan kaki palsu dan memanfaatkan media sosial untuk berkongsi keadaan terkini dirinya. Untuk rekod, pemilik taman tema itu, Merlin Attractions, turut didenda £5 juta (RM27.4 juta) atas pelanggaran kesihatan dan keselamatan kerana kemalangan itu berlaku disebabkan kesilapan manusia. - Daily Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube