suria

Niat nak berseronok dengan wanita muda terbantut... Warga emas berusia 71 tahun jadi mangsa scam, rugi lebih RM245,000

Gara-gara terpedaya dengan tawaran untuk berseronok dengan wanita muda, seorang warga emas kerugian lebih RM245,000. Gambar hiasan

GARA-GARA mahu berseronok dengan wanita muda, seorang pesara akauntan menjadi mangsa penipuan dan menanggung kerugian berjumlah RM245,210.

Warga emas berusia 71 tahun dari Mumbai, India itu mendakwa dia menerima mesej daripada individu yang tidak dikenalinya, menawarkan perkhidmatan membekalkan gadis muda untuk tujuan berseronok atau sekadar peneman.

"Sebagaimana kenyataan kepada polis pada 23 Mac lalu, warga emas itu menerima mesej melalui telefonnya supaya menghubungi nombor berkenaan jika mahu berkenalan dengan gadis cantik. Mangsa menghubungi nombor tersebut daripada situlah penipuan bermula," kata seorang pegawai polis.

Pemilik nombor telefon itu kemudian menghantar beberapa keping gambar gadis muda dan cantik, dan kemudian meminta warga emas tersebut memilih salah seorang daripadanya.

Namun, warga emas tersebut diminta membayar yuran pendaftaran Rs 2,100 (RM114) untuk menerima gambar tersebut.

Dia kemudian membayar jumlah wang yang dikehendaki melalui sistem perbankan dalam talian.

Pegawai polis berkata, selepas membayar yuran pendaftaran, mangsa membuat beberapa lagi transaksi pembayaran dalam pelbagai jumlah kepada wanita yang tidak dikenali itu demi mendapatkan seorang gadis sehinggalah jumlah keseluruhan transaksi bernilai sehingga melebihi RM245,000.

Tambah pegawai polis itu, mangsa juga meminjam wang daripada rakan-rakannya demi memenuhi jumlah yang dituntut.

Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita tersebut tidak henti-henti meminta wang, dan akhirnya melaporkan kepada polis. - India.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain