SEKEPING gambar memaparkan sebuah kubur yang dipasang gril dan dikunci menggunakan kunci mangga (padlock) menjadi tular di media sosial, sekaligus menimbulkan tanda tanya warga maya. Terdahulu, gambar tersebut dikongsikan oleh satu akaun bernama Harris Sultan, dan ia menjadi viral di Twitter. Dalam perkongsiannya, individu tersebut menulis pada ruangan kapsyen bahawa kubur tersebut terletak di Pakistan. "Pakistan telah mewujudkan masyarakat yang terangsang dan kecewa secara seksual sehingga orang ramai memasang kunci pada kubur anak perempuan mereka untuk mengelakkan mereka daripada dirogol," tulisnya. Ciapan tersebut kemudian menjadi tular selepas sebuah portal menulis mengenainya, melaporkan bahawa ibu bapa di Pakistan terpaksa memasang kunci pada kubur anak perempuan mereka untuk mengelakkan menjadi mangsa rogol. Laporan portal berkenaan turut mengaitkan kes nekrofilia (perbuatan seksual yang melibatkan mayat) semakin meningkat di negara tersebut. Bagaimanapun, informasi berkenaan kemudian disanggah oleh warga maya yang menafikan laporan portal berkenaan dan ciapan asal yang didakwa tidak tepat. Difahamkan, gambar kubur tersebut bukanlah di Pakistan, sebaliknya ia adalah gambar sebuah kubur di Telangana, India. Gril dan kunci dipasang bertujuan menghalang orang lain daripada mengebumikan mayat di dalam kubur tersebut. "Kubur yang 'terkunci' itu terletak di India dan bukan di Pakistan. Keluarga seorang wanita berusia 60 tahun mengunci kubur itu dengan gril besi untuk melindungi tempat tersebut, menurut penduduk tempatan," demikian ciapan seorang netizen. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube