GEMPAR! Tanah perkuburan dan hospital ditemukan di dasar laut Taman Negara Dry Tortugas berhampiran Florida Keys, Amerika Syarikat. Ia susulan pasukan penyelam menemui batu nisan yang tenggelam di kawasan tersebut. Justeru itu, ahli arkeologi menganggap tapak di Taman Negara berkenaan berkemungkinan pernah digunakan untuk pesakit demam kuning yang dikuarantin di sebuah pulau kecil yang kemudiannya terhakis menjadi laut. Meskipun hanya satu tapak kubur ditemui, namun para saintis menganggarkan bahawa mayat berpuluh-puluh orang dengan kebanyakannya anggota tentera yang ditempatkan di Fort Jefferson di Garden Key pada tahun 1860-an dan 70-an berada di situ. Catatan pada batu nisan yang ditemui. Ahli Arkeologi Maritim Taman Negara Florida Selatan yang juga pengarah projek tinjauan itu, Josh Marano, berkata, penemuan menarik tersebut menyerlahkan potensi cerita yang tidak terperi di Taman Negara Dry Tortugas. "Walaupun kebanyakan sejarah Fort Jefferson tertumpu pada kubu itu sendiri dan beberapa banduan yang terkenal, kami secara aktif berusaha untuk menceritakan kisah orang yang diperhambakan, wanita, kanak-kanak dan buruh awam," ujarnya. Terdahulu, kerja mencari tapak kubur itu bermula pada Ogos tahun lalu oleh ahli arkeologi taman dengan bantuan ahli Pusat Sumber Terendam Perkhidmatan Taman Negara, Pusat Arkeologi Tenggara dan pelajar siswazah dari Universiti Miami. Tapak itu ditemui secara tidak sengaja beberapa bulan sebelum ini apabila seorang pekerja taman melintasi permukaaan air dan melihat objek buatan manusia di dasarnya. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube