SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah rendah di Serbia awal pagi Rabu, mengakibatkan lapan murid dan seorang pengawal keselamatan terbunuh. Dalam insiden tersebut, seorang guru dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala enam murid dan seorang lagi guru cedera, menurut laporan. Pegawai polis menerima panggilan melaporkan kejadian tembakan di Sekolah Rendah Vladislav Ribnikar, tengah Belgrade pada kira-kira 7.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi. Suspek yang dikenal pasti dengan inisial KK berjaya ditangkap di halaman sekolah. Seorang pelajar yang juga saksi kejadian, Evgenia, berkata: "Saya mendengar bunyi bising, saya fikir ada pelajar sedang membaling mercun. Tetapi kemudian saya melihat pengawal keselamatan rebah di atas lantai. "Kami semua bersesak-sesak ke dalam bilik kecil sebelum dipindahkan di gimnasium. Selepas keadaan selamat, kemudian kami dibenarkan keluar," ujarnya. Pelajar perempuan itu menyifatkan suspek sebagai seorang remaja yang pendiam tetapi baik, namun gemar menyendiri. Difahamkan, suspek telah mencuri pistol milik bapanya sebelum melakukan serangan ke atas sekolah berkenaan. Pihak berkuasa sedang menyiasat motif di sebalik serangan tersebut. - Dailystar Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube