BOLEH dikatakan kebanyakan dalam kalangan kita menggunakan sistem navigasi atau Global Positioning System (GPS) untuk mencari lokasi sebenar sesuatu destinasi yang ingin ditujui. Namun ada kalanya sistem navigasi tidak memberikan panduan arah lokasi yang tepat sepenuhnya. Begitulah hal yang menimpa dua pelancong wanita di Hawaii, di mana mereka nyaris lemas selepas kereta yang dipandu hampir tenggelam di dalam laut gara-gara terkeliru dengan sistem navigasi yang digunakan. Difahamkan, kedua-dua pelancong itu memandu ke Pelabuhan Honokohau sambil mengikut arah yang ditunjukkan sistem berkenaan. Ketika kejadian, mereka sedang mencari ejen perkhidmatan aktiviti snorkeling di pulau peranginan popular itu. Ketika ralit mengikut panduan yang diberikan, tanpa disedari kereta yang dipandu menuruni tanjakan bot. Akibatnya, kereta mereka hampir tenggelam ke dalam air. Video yang tular di media sosial memaparkan orang awam terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan dua wanita berkenaan. Kedua-duanya bernasib baik dan sempat dikeluarkan menerusi tingkap kereta sebelum kenderaan itu ditenggelami air. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube