SEORANG wanita Florida ralit mencuri di sebuah gedung mewah tanpa menyedari kereta yang diparkir terbakar bersama dua anaknya di dalam kenderaan tersebut. Alicia Moore, 24, memarkir kenderaannya di tempat letak kereta di luar gedung Oviedo Mall di Oviedo, Orlando, minggu lalu. Dia bersama seorang kenalan lelaki kemudian memasuki gedung berkenaan dan meninggalkan dua anaknya yang berusia dua tahun dan empat tahun di dalam kereta. Pasangan itu mencuri selama kira-kira sejam, sebelum keluar dari gedung sekitar pukul 1 tengah hari pada 26 Mei. Sebaik melihat keretanya disambar api, Moore terus mencampakkan barang yang dicurinya dan berlari ke arah keretanya. Punca kebakaran dipercayai akibat tindakan dua anak kecilnya yang bermain mancis di dalam kereta. Orang awam yang melihat kejadian tersebut bergegas membantu menyelamatkan dua anak wanita tersebut. Kanak-kanak malang itu kemudian dibawa ke Hospital Arnold Palmer ekoran mengalami kecederaan ringan. Salah seorang anak Moore, mengalami melecur tahap pertama di muka dan telinga. -Metro.co.uk Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube