MEDIA sosial di China hangat dengan kontroversi dikenali sebagai 'Rat Head Gate' selepas seorang pelajar menemui 'sesuatu' yang kelihatan seperti kepala tikus dalam hidangan di kafeteria sekolah. Insiden itu dilaporkan berlaku minggu lalu di kafeteria Kolej Teknikal Vokasional Perdagangan Industri Jiangxi di Nanchang, China. Difahamkan, ketika sedang menikmati makanan tengah hari, seorang pelajar menemui apa yang kelihatan seperti kepala tikus di dalam mangkuk nasinya. Dia mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam penemuan itu, sebelum bertanya kepada kakitangan kafeteria mengenainya. Bagaimanapun, pelajar itu diberitahu bahawa ia bukan kepala tikus, sebaliknya kepala itik. Video penemuan 'kepala tikus' itu tersebar pantas di media sosial di negara berkenaan sehingga Kolej Teknik Vokasional Jiangxi bertindak mengeluarkan kenyataan rasmi pada 3 Jun bagi menyangkal khabar angin dengan menegaskan bahawa ia adalah kepala itik yang 'kelihatan pelik'. Keesokan harinya pula, biro penyeliaan makanan tempatan turut mengulas mengenai kes itu, mendakwa ia sememangnya kepala itik. Ketika khabar angin itu terus tersebar dan pihak sekolah memberi amaran kepada pelajar supaya tidak membincangkan kejadian tersebut di internet, syarikat katering rasmi mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa benda seperti kepala tikus tidak ditemui dalam makanan yang dihantar mereka. -Odditycentral Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube