KERANA cinta, seseorang bisa menjadi buta! Begitulah juga dengan kisah seorang wanita dari Pakistan ini yang sanggup meninggalkan suami hanya kerana kekasih yang ditemuinya di platform permainan video, Player Unknown's Battleground (PUBG). Seema Ghulam Haider bertemu dengan seorang lelaki bernama Sachin Meena ketika bermain PUBG beberapa tahun yang lalu. Selepas berkenalan di PUBG semasa pandemik Covid-19, mereka kemudian bertukar nombor telefon dan berhubungan selama tiga tahun. Dia kemudian jatuh cinta dan merasa serasi bersama Sachin lalu memutuskan untuk mencari lelaki tersebut yang menetap di India. Wanita berusia 27 tahun itu malah bertekad untuk 'menyeberangi' Pakistan secara haram supaya dia boleh tinggal bersama kekasihnya itu. Seema sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, namun dek kerana sering ditinggalkan si suami yang bekerja di Arab Saudi, lantas cintanya beralih arah. Sachin, 22, yang bekerja di pasar raya mencari rumah kecil untuk tinggal bersama Seema dan anak-anak wanita tersebut. "Saya menerima agama dan budayanya dan menukar nama empat anak saya yang memanggilnya Baba. Keluarga Sachin juga menerima saya," kata Seema. Pada mulanya mereka hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, pasangan itu meminta nasihat daripada peguam supaya mereka boleh berkahwin secara sah. Daripada situlah kontroversi mula tercetus sehingga menjadi kes polis. Seema sanggup menuduh suaminya seorang kaki pukul dan memberitahu polis bahawa dia mahu bercerai. Namun suami Seema menolak tuduhan tersebut dan enggan menceraikan wanita itu. Dalam kenyataan, si suami menuduh Seema menjual rumah mereka di Pakistan dan melarikan anak serta barang kemas mereka. "Saya lebih rela mati daripada kembali (ke Pakistan) atau meninggalkan Sachin," kata Seema. Pasangan tersebut, yang masih belum berkahwin secara sah, kini menjadi liputan media kerana isu membabitkan perbezaan agama. Ketika ini dilaporkan pihak polis di Mumbai, India, menerima ugutan daripada pihak tidak dikenali yang mengancam mahu melancarkan serangan sekiranya Seema tidak kembali ke Pakistan. -Thefederal/Theweek Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube